31 Ogos 2023, 01:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Sebanyak 100 000 pengunjung dianggar akan hadir bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada pagi ini.

Putrajaya – Definisi Malaysia MADANI ditakrifkan melalui sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya hari ini bermula dengan persembahan tarian dan nyanyian, aksi akrobatik oleh pasukan keselamatan sehinggalah perarakan kontinjen.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 pada tahun ini akan disertai oleh 1500 pelajar sekolah yang bergabung tenaga untuk membuat persembahan gerakan pantas dengan pelbagai formasi mengibarkan Jalur Gemilang, di samping 1000 orang penari yang bersama-sama dalam persembahan lagu Kurik Kendi yang pernah dipopularkan oleh Dato’ Sri Siti Norhaliza dan diiringi dengan pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum.

Lagu tersebut dinyanyikan oleh gabungan artis daripada pelbagai kaum seperti Nadeera Zaini yang mewakili masyarakat Melayu, Suki Low yang mewakili masyarakat Cina, Zizi Kirana yang mewakili masyarakat Sabah, dan Roshini Balachandran yang mewakili masyarakat India.

Aksi terjunan udara daripada enam komando 69 (VAT69) Polis Diraja Malaysia menjadi satu daripada acara menarik yang dinanti-nantikan untuk disaksikan oleh rakyat Malaysia.

Pada acara seterusnya, penonton akan disaksikan dengan pertunjukan yang amat menakjubkan daripada pasukan keselamatan negara, iaitu aksi akrobatik 15 biji motosikal antik atau dikenali sebagai “Wira Merah” oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia dan aksi terjunan udara daripada enam komando 69 (VAT69) Polis Diraja Malaysia yang akan mendarat tepat di hadapan pentas utama Dataran Putrajaya dalam masa enam minit.

Seiring dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, acara gilang-gemilang ini akan diteruskan dengan gabungan 1000 kontinjen keselamatan dalam acara perbarisan yang terdiri daripada pelbagai etnik, termasuklah kontinjen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang akan menyerlahkan lagi kelestarian makna Malaysia MADANI.

Pada masa yang sama, acara perbarisan ini akan turut disertai oleh Kontinjen Ekonomi yang melibatkan industri mega seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat telekomunikasi dan perbankan yang membuktikan bahawa prestasi ekonomi negara menerusi sektor ini semakin diperkukuh.

Perarakan daripada badan berkannun dan unit beruniform.

Seterusnya, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin dalam satu kenyataan menyatakan bahawa sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini juga akan dimeriahkan dengan acara perarakan aset ketenteraan, polis dan aset kementerian yang menggunakan teknologi terkini seperti kenderaan berkuasa elektrik sebagai tanda kemajuan teknologi di Malaysia.

Secara keseluruhannya, jumlah peserta yang terlibat dalam acara tahunan ini dianggarkan melebihi 19 000 orang dan anggaran kehadiran pengunjung adalah sebanyak 100 000 orang.

Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan selaku jawatankuasa logistik bagi sambutan Hari Kebangsaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi keselesaan pengunjung yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.