Oleh Aisyah A.
6 September 2023, 18:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Antara karyawan DBP yang turut hadir dalam Forum Hak Cipta 2023: Undang-Undang Hak Cipta dan Isu dalam Penerbitan yang berlangsung di Dewan Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dewan Bahasa dan Pustaka pada pagi ini.

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Harta Intelek, Jabatan Penerbitan mengadakan Forum Hak Cipta 2023: Undang-Undang Hak Cipta dan Isu dalam Penerbitan bagi menjelaskan mengenai perlindungan hak cipta berdasarkan Akta Hak Cipta 1987.

Forum yang diadakan di Dewan Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir pada pagi ini bertujuan untuk memberikan kefahaman tentang Undang-Undang Hak Cipta dalam Penerbitan Buku, terutamanya kepada Ketua Editor, Editor dan Penolong Editor di Jabatan Penerbitan DBP.

Moderator forum ini ialah Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abd. Rahman, Ketua Pusat Kajian Undang-Undang Malaysia dan Perbandingan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala ahli panel yang terlibat dalam forum ini ialah Profesor Madya Rohazar Wati Zuallcobley, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Encik Mod Shaufiq Abdul Latiff, Penolong Pengarah Bahagian Hak Cipta, Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

Menurut Profesor Rohazar, hak cipta ialah hak eksklusif yang diberi berdasarkan tempoh tertentu kepada pencipta karya untuk membuat salinan. Namun begitu, hak eksklusif datang dengan sempadan atau sekatan kepada hak mengawal keseluruhan karya berdasarkan Seksyen 13 Subseksyen 2 yang memberikan pengecualian kepada urusan yang wajar dan tidak menjadi satu pelanggaran hak cipta.

Profesor Madya Rohazar Wati Zuallcobley, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA.

Akta memberikan satu imbangan bagi hak pemunya dan hak orang awam. Pemunya hak cipta mempunyai hak moral kepada karya tersebut yang terbahagi kepada dua, iaitu hak paternity dan hak integriti.

Beliau turut menjelaskan berkenaan dengan Seksyen 7 Akta Hak Cipta 1987, iaitu berkaitan dengan karya sastera, karya seni dan karya muzik, Seksyen 8 berkenaan karya terbitan dan Seksyen 9 berkenaan dengan hak cipta dalam edisi karya diterbitkan.

Sementara itu, Encik Shaufiq berkata,

Encik Mod Shaufiq Abdul Latiff, Penolong Pengarah Bahagian Hak Cipta, Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

Perlindungan dan pemilikan terhadap sesebuah karya, pencipta karya boleh mendaftarkan harta intelek di MyIPO atau melalui tiga kaedah yang disediakan di bawah perundangan akta hak cipta, iaitu melalui afidavit, akuan bersumpah dan pemberitahuan sukarela hak cipta.

Beliau juga menjelaskan berkenaan dengan Berne Convention, yakni negara yang menyertainya perlu menetapkan perkara minimum di bawah perlindungan yang diberikan kepada pencipta dan tempoh perlindungan berserta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perlindungan hak cipta.

Namun begitu, bagi negara non-Berne Convention yang tidak menetapkan tatacara bagi menguatkuasakan perlindungan hak cipta, langkah untuk menguatkuasakan satu pelanggaran adalah sukar dan mencabar bagi pemunya hak cipta.

Pemilik hak cipta dinasihatkan untuk sentiasa cakna dengan karya masing-masing mengelakkan isu pelanggaran ini.

Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abd. Rahman menerangkan secara umum berkaitan dengan hak cipta kepada sidang editor DBP yang hadir dalam forum, hari ini.

Mengulas lanjut, hak cipta berkaitan dengan nyanyian dan produk turut dikongsi dalam memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada penonton, terutamanya yang terlibat secara langsung dengan penciptaan karya.

Selain itu, program ini turut memberikan penjelasan dalam usaha memahami perkara asas berkaitan dengan undang-undang hak cipta agar kerja penerbitan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap melalui kaedah yang betul.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.