9 September 2023, 19:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Raihan Talib@Persatuan Murid-murid Tua MGC/TKC

Nilai – “Saya percaya kerendahan hati ialah prinsip yang penting dalam kepimpinan, malahan menjadi kunci kejayaan bagi banyak pemimpin di luar sana,” ujar YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa menyampaikan ucap utamanya dalam Program Kembali ke Sekolah atau Back To School (BTS) 2023 Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di Nilai, Negeri Sembilan, pada pagi ini.

Tambah beliau, sifat rendah hati membangkitkan pengaruh yang positif, penghormatan dan semangat kesetiaan serta dapat menambahkan nilai keperibadian seorang pemimpin.

Banyak yang telah saya pelajari sepanjang hidup saya termasuklah tentang menangani kekecewaan dan berdamai dengan ketentuan yang telah ditakdirkan.

Beliau berharap agar perjalanan hidup beliau, iaitu sebagai wanita Malaysia pertama yang menerima Anugerah Pingat Emas MacNaughton Jones di Royal College of Surgeon hingga menjadi Timbalan Perdana Menteri dapat memberikan inspirasi kepada para hadirin.

Dato’ Seri Dr. Wan Azizah semasa menandatangani buku log pelawat Kolej Tunku Kurshiah.

Dato’ Seri Dr. Wan Azizah juga sempat menceritakan memori yang tidak dapat beliau lupakan, iaitu ketika beliau menjadi “Sultan” dalam persembahan sketsa jenaka Puteri Gunung “Jerai” semasa baru mendaftar sebagai pelajar TKC pada tahun 1969.

“Saya ialah seorang ahli komedi dahulu,” ujar beliau, berseloroh.

Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah Forum Women of Influence yang menampilkan dua orang alumni TKC sebagai ahli panel, iaitu Yang Amat Arif (YAA) Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara dan YBhg. Tan Sri Dr. Mazlan Othman, ahli astrofizik Malaysia yang pertama.

Forum Women of Influence membangkitkan agenda kepimpinan dan pemerkasaan wanita.

“Saya tidaklah mempunyai ‘resipi’ tertentu tetapi saya percaya, kepercayaan terhadap ketentuan rezeki, kerja keras, sifat bertanggungjawab dan keberanian menjadi ramuan kepada apa-apa kejayaan sekalipun,” ujar Tun Tengku Maimun ketika ditanya oleh Raja Fernaliz Raja Harris selaku moderator forum tentang rahsia di sebalik kejayaan beliau yang kini menjawat jawatan tertinggi dalam bidang kehakiman negara.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa bidang kehakiman di Malaysia menjadi perintis dalam kalangan negara Asia yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu dalam urusan kehakiman seperti proses menjatuhkan hukuman (passing sentence process).

Bagi Tan Sri Dr. Mazlan pula, keinginan membuat sesuatu yang berbeza dan luar daripada kebiasaan sentiasa menjadi pembakar semangat beliau untuk meneroka bidang astrofizik.

Pada waktu itu, hanya terdapat kurang lebih sebanyak 2000 orang sahaja ahli astrofizik di dunia. Namun begitu, sifat ingin tahu yang menebal dalam diri saya membuatkan saya terus berjalan ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.

Majlis dikejutkan dengan gimik penampilan angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor semasa forum berlangsung. Beliau hadir untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Mazlan atas segala kejayaan yang beliau capai hingga hari ini.

Dari kiri: Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Puan Hajah Nor Hayati Yusoff; Tan Sri Dr. Mazlan Othman; Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Pengerusi Persatuan Murid-murid Tua MGC/TKC, Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Program BTS 2023 merupakan anjuran Persatuan Murid-murid Tua MGC/TKC yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh hubungan antara alumni sekolah tersebut dengan warga sekolah semasa.

Acara tahunan ini yang lazimnya diadakan pada 1 Mei terpaksa ditunda ke hari ini selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menangguhkan aktiviti luar bilik darjah buat sementara waktu akibat cuaca panas melanda.

Untuk catatan, Kolej Tunku Kurshiah (dahulu dikenali sebagai Malay Girls College) ialah Sekolah Berasrama Penuh yang ditubuhkan pada tahun 1947 dan telah banyak melahirkan tokoh pemimpin wanita di Malaysia sehingga hari ini.

Program BTS 2023 pada tahun ini dihadiri oleh anggaran sebanyak 600 orang alumni dan bekas pengetua Kolej Tunku Kurshiah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.