28 September 2023, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, Raja Muda Perlis semasa berkenan berangkat menziarahi pemilik rumah yang terjejas akibat hujan dan ribut di Kuala Perlis.

Kuala Perlis –  Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan pesanan agar setiap rakyat bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti ribut atau banjir dan mempunyai ilmu pengetahuan tentangnya. Ketika menjelaskan perkara tersebut, titah baginda,

Sungguhpun ia kurang berlaku berbanding dahulu, namun, setiap isi rumah yang tinggal di kawasan yang lebih kerap berlaku banjir atau berisiko tinggi perlu menyediakan peralatan perapungan seperti jaket keselamatan, tong kosong dan pelampung, menyediakan beg kecemasan khas, berpindah dengan segera sekiranya diarahkan dan sentiasa peka terhadap perkembangan berita terkini.

Baginda bertitah demikian berkenan berangkat menziarahi beberapa buah rumah mangsa ribut di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis.

Hal ini demikian kerana hujan lebat kebelakangan ini dan juga ribut di sekitar Perlis telah mengakibatkan beberapa buah rumah di Kampung Padang Besar Selatan terjejas. Turut melanda Perlis beberapa hari ini ialah banjir.

Raja Muda Perlis ketika melihat keadaan rumah penduduk di Kuala Perlis yang terjejas akibat hujan dan ribut.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan berkenaan, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyerahkan Bantuan Awal Bencana daripada MAIPs sebanyak RM500 bagi setiap rumah.

Raja Muda Perlis menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Norkhaizura Muhiddin, 50 tahun; Hawati Harun, 56 tahun; Noorsuzieyantie Kamaruddin, 35 tahun; dan Salleh Sulaiman, 57 tahun merupakan pemilik rumah yang terjejas akibat bencana pada kali ini merupakan antara mereka yang telah mendapat bantuan tersebut daripada pihak MAIPs.

Dalam situasi menghadapi ribut dan banjir, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berharap agar rakyat Perlis sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu,  Tuan Haji Mohd Nazim menasihati semua mangsa agar sentiasa bersabar dan tabah dalam menghadapi situasi yang sukar seperti itu.

Tambah beliau, pihak MAIPs sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) Perlis dalam menentukan penyaluran sumbangan yang sesuai kepada mangsa yang terjejas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.