Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNegara kini berdepan dengan isu kekurangan guru yang menjadi isu hangat dalam media massa mahupun pada peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hal ini demikian kerana timbul isu kekurangan guru dalam bidang Reka Bentuk dan Teknologi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. Isu kekurangan guru bukanlah perkara baharu, namun telah menjadi isu lama yang sering diperkatakan, terutamanya di kawasan sekolah pedalaman. Meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan, namun masalah kekurangan guru masih belum dapat diselesaikan. Hal ini turut memberikan kesan kepada kualiti pelajar yang akan menjadi generasi penggerak pada masa hadapan. Apakah punca kekurangan guru? Bagaimanakah kekurangan guru memberikan kesan terhadap pembelajaran pelajar di sekolah?
Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, 2021, “guru” merujuk orang yang kerjanya mengajar atau mendidik pelajar secara formal di sekolah. Oleh sebab itu, guru sangat penting dalam mendidik dan membentuk keperibadian seseorang pelajar di samping meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar. Masalah kekurangan guru akan memberikan impak terhadap sahsiah diri dan pembelajaran pelajar di sekolah. Peranan guru sangat penting dalam membentuk pelajar yang berilmu kerana “guru” sinonim dengan “Celik insan kerana guru berperibadi unggul”. Tuntasnya, tanggungjawab seorang guru sangat besar dalam mendidik anak bangsa. Tanpa ilmu pengetahuan, tentu sukar bagi pelajar untuk mengharungi kesulitan hidup pada masa hadapan apatah lagi untuk memajukan negara.
Terdapat beberapa punca kekurangan guru yang sukar ditangani sehingga ke hari ini. Antaranya termasuklah keadaan guru yang mengambil keputusan untuk bersara awal. Hal ini demikian kerana, guru berasa terbeban dengan tugasan yang diberikan dan perlu mengajar banyak kelas sehingga menyebabkan mereka tidak sempat untuk menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan latihan pengukuhan pelajar. Tambahan pula, guru turut terlibat dengan tugasan pengurusan sekolah yang banyak. Hal ini juga bersangkut paut dengan guru senior yang terbeban dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan dan pengurusan sekolah apabila kemahiran teknologi diperlukan untuk memuat naik bahan dalam pangkalan data. Oleh sebab itu, banyak guru yang tidak sanggup menanggung beban tugasan tersebut.
Selain itu, sistem pendidikan negara yang mempunyai mata pelajaran yang banyak turut menjadi punca kekurangan guru. Hal ini demikian kerana apabila mata pelajaran banyak, guru yang banyak juga diperlukan untuk mengajar pelajar di setiap sekolah. Kekosongan jawatan yang banyak dalam sesuatu subjek menyebabkan kekurangan guru di sesebuah sekolah. Hal ini mengakibatkan guru yang bukan dari subjek kemahirannya terpaksa membantu pihak sekolah untuk mengajar mata pelajaran tersebut bagi memenuhi kekurangan guru dalam subjek berkenaan. Selain itu, guru yang diserap masuk ke dalam pentadbiran turut menyumbang kepada peningkatan peratusan guru berhenti daripada mengajar. Contohnya, guru diserap ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Kekurangan guru memberikan kesan yang mendalam terhadap pembelajaran pelajar. Hal ini demikian kerana kekurangan guru akan menyebabkan pelajar sukar memberikan tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas. Disebabkan kekurangan guru, bilangan pelajar di dalam kelas akan menjadi semakin bertambah. Kesannya, pelajar menjadi tidak selesa, hilang tumpuan dan fokus serta menyebabkan prestasi pembelajaran mereka semakin merosot. Selain itu, bilangan pelajar yang terlalu banyak juga menyebabkan guru tidak dapat mengawal dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada semua pelajar di dalam kelas.
Selain itu, kekurangan guru turut memberikan kesan yang mendalam terhadap pembelajaran pelajar kerana PdP yang dilaksanakan kurang berkesan. Hal ini demikian kerana guru tidak dapat mempersiapkan diri sebelum memulakan pengajaran disebabkan terlalu banyak kelas yang perlu dihadiri dan banyak tugasan pengurusan yang perlu diselesaikan. Hal ini menyebabkan guru tidak sempat untuk menghasilkan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan latihan pengukuhan untuk pelajar. Disebabkan kekurangan guru, terdapat beberapa guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran di luar daripada bidang kemahiran guru tersebut. Kesannya, pelajar mungkin kurang memahami pengajaran yang disampaikan oleh guru tersebut.
Keadaan ini akan menyebabkan kemerosotan pencapaian akademik pelajar. Guru mungkin tidak dapat mengendalikan kelas dengan baik apabila jumlah murid terlalu banyak. Selain itu, guru juga tidak memberikan perhatian kepada pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu. Hal ini mengakibatkan pelajar tidak dapat menjawab peperiksaan atau ujian dengan baik.
Walau bagaimanapun, hasil keprihatinan daripada semua pihak, masalah kekurangan guru telah diambil perhatian sewajarnya. Kementerian Pendidikan Malaysia misalnya, telah mengadakan pengambilan khas guru baharu bagi mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara sekali gus membantu graduan yang masih menganggur untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, pengambilan guru baharu dapat meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.
Kesimpulannya, kekurangan guru sememangnya memberikan kesan terhadap pembelajaran pelajar, sekali gus membuka mata umum tentang pentingnya peranan guru dalam bidang pendidikan. Untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, masalah kekurangan guru perlu di atasi dengan segera agar pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan secara berkesan dan sistematik. Dalam hal ini, KPM dilihat terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu Pendidikan di Malaysia.