12 Oktober 2023, 19:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdirinya Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat dapat diibaratkan sebagai sebuah pohon ara yang subur dan menghijau. Sejak disemai benihnya dengan laungan merdeka sebanyak tujuh kali, pohon ara ini terus membesar dengan teguhnya. Sokongan kuat akar-akar banir yang berbagai-bagai rupa dan saiz membantu pohon ara ini untuk terus cekal mengharungi ribut petir selama 66 tahun.

Dalam konteks di negara ini, akar-akar banir yang dimaksudkan ialah kewujudan kaum dan etnik yang pelbagai. Walaupun setiap kaum ini mempunyai perbezaan dari segi agama dan kepercayaan, bahasa, budaya dan adat resam, namun demikian mereka dapat bersatu padu untuk memastikan Malaysia terus berkembang maju, harmoni, dan stabil. Kesatuan hati yang terbentuk dalam kalangan rakyat Malaysia ini bukannya dicapai dalam masa yang singkat. Sebaliknya, adalah satu usaha yang telah dilakukan sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi.

Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menekankan bahawa perpaduan antara penduduk Tanah Melayu pada ketika itu amatlah penting bagi menjamin proses kemerdekaan berjalan dengan lancar. Beliau pernah menegaskan tentang perpaduan iaitu:

“The Alliance memorandum is the embodiment of the unity of the Malayan people whose common aim is to found a new nation.”

                        The Strait Times Annual, 1 Januari 1957, ms.23

Usaha murni Tunku Abdul Rahman disambut baik oleh pemimpin-pemimpin kaum Cina dan India disebabkan orang Cina dan India yang menetap di Tanah Melayu sudah pun menganggap bahawa Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, bukannya lagi negara leluhur. Mereka tidak mahu lagi pulang ke negara asal, sebaliknya berhasrat menjadi warganegara Tanah Melayu yang sah.

Ekoran itu, satu bentuk kerjasama dijalinkan antara pemimpin kaum Melayu, Cina dan India. Kerjasama tersebut diterjemahkan dalam bentuk gabungan parti politik, iaitu Perikatan yang merangkumi UMNO, MCA dan MIC. Simbol “Kapal Layar” dipilih sebagai logo Perikatan yang jelas menggambarkan bahawa kesatuan hati semua kaum untuk bersama-sama melawan badai penjajahan. Bagi menghadapi pilihan raya 1955, Parti Perikatan telah mengeluarkan manifestonya pada Julai 1955 untuk menjelaskan kepercayaan, dasar dan janji kepada rakyat umum. Antara perkara penting yang dibincangkan termasuklah memberikan janji untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu dalam tempoh empat tahun. Pada pilihan raya tersebut, sebanyak 1 280 000 orang pengundi layak membuang undi dengan pecahan 84.2% (Melayu), 11.2% (Cina), 3.9% (India) dan 0.7% (Lain-lain). Sikap tolak ansur dan kerjasama dapat dilihat antara parti-parti di bawah Perikatan dengan pencalonan dari semua kaum. Sebanyak 35 orang calon Melayu, 15 orang calon Cina dan dua orang calon India dipilih untuk mewakili Parti Perikatan. Orang Melayu sanggup memberikan banyak kawasan majoriti Melayu kepada calon bukan Melayu demi semangat setia kawan. Kerjasama yang padu antara ketiga-tiga kaum utama berjaya menambat kepercayaan penduduk Tanah Melayu sehingga gabungan tersebut berjaya membolot sebanyak 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Kejayaan tersebut telah membuka ruang yang seluas-luasnya untuk Parti Perikatan menuntut kemerdekaan daripada British. Rundingan demi rundingan dilakukan dengan penyertaan semua pemimpin kaum yang memungkinkan kelahiran sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957. Menyedari akan kepentingan perpaduan, maka elemen perpaduan dijadikan asas bagi segala agenda dan dasar negara kerana pihak kerajaan melihat hanya melalui perpaduan sahaja, negara ini dapat akan terus berdiri kukuh. Sementelah itu, Tunku Abdul Rahman sekali lagi mencadangkan pembentukan satu gagasan baharu, dengan menyatukan wilayah-wilayah di sekitarnya. Cadangan tersebut dibuat setelah meneliti senario yang sedang berlaku pada waktu itu seperti ancaman komunis yang berleluasa, usaha memerdekakan Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei, dasar dekolonisasi yang diambil oleh kerajaan British serta matlamat perkongsian faedah ekonomi secara bersama.

Para pemimpin dari Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA), Sarawak National Party (SNAP), Parti Negara Sarawak (PANAS), United Sabah National Organisation (USNO), United National Kadazan Organization (UNKO), People’s Action Party (PAP) bekerjasama dengan UMNO, MCA dan MIC. Mereka mengadakan pertemuan dan perbincangan untuk memuktamadkan satu kerjasama yang mampu memberikan kebaikan kepada semua wilayah yang terlibat. Permuafakatan dan semangat perpaduan yang kuat akhirnya berjaya melahirkan sebuah gagasan baharu, iaitu Malaysia pada 16 September 1963 dengan menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura. Akan tetapi, Brunei mengambil keputusan untuk tidak menyertai gagasan Malaysia tersebut.

Di sebuah negara seperti Malaysia yang teradun dengan kepelbagaian rona, usaha untuk mengekalkan momentum perpaduan adalah sesuatu yang sangat mencabar. Perpaduan antara kaum boleh terhakis dalam sekelip mata, sekiranya isu-isu sensitif dibangkitkan. Selepas pembentukan Malaysia, Singapura di bawah PAP mula memperjuangkan ideologi “Malaysian Malaysia” yang membawa suatu ancaman terhadap hubungan antara kaum di Malaysia. Di bawah slogan ini, PAP menuntut bahawa “Malaysia menjadi milik semua rakyat Malaysia secara menyeluruh dan bukan untuk mana-mana masyarakat atau kaum tertentu” (L.K Yew, The Battle for a Malaysian Malaysia, 1965). Tindakan PAP ini kelihatan bercanggah sama sekali dengan persetujuan yang dicapai tentang hak istimewa orang Melayu, kepentingan peribumi Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Bahkan pada 9 Mei 1965, sewaktu penubuhan Malaysian Solidarity Convention (MSC) yang dipimpin oleh PAP, isu-isu yang sama turut dimainkan sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk Malaysia. Hubungan antara kaum, terutamanya antara orang Melayu dan orang Cina semakin terjejas pad aketika itu. Ekoran daripada itu, pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman mengemukakan usul pemisahan Singapura dari Malaysia di Parlimen (Penyata Sidang Parlimen Khas, 9 Ogos 1965). Tunku Abdul Rahman terpaksa mengambil keputusan tersebut demi menjaga keharmonian dan kemakmuran negara yang baru sahaja berusia dua tahun.

Selain itu, peristiwa hitam 13 Mei 1969 juga memperlihatkan bahana yang wujud akibat ketiadaan semangat perpaduan yang utuh. Akibat tindakan melulu segelintir pihak, negara terjerumus ke dalam kancah huru-hara sehingga merencatkan kesejahteraan dan keharmonian yang sudah dibina. Ekoran daripada peristiwa itu, Tunku Abdul Rahman terpaksa mengambil tindakan drastik dengan menggantung Parlimen dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk. Atas kepercayaan yang diberikan, Tun Abdul Razak Hussein mengambil inisiatif dan memperkenalkan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 bagi memupuk dan mengukuhkan kembali semangat perpaduan antara kaum yang tercalar.

Lima prinsip Rukun Negara menggariskan panduan yang harus dihayati oleh setiap rakyat Malaysia yang merangkumi pengamalan sikap menghormati dan menerima perbezaan kepercayaan dan agama, taat setia kepada Raja dan Negara, mendukung segala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, menghormati dan mematuhi undang-undang, menerapkan nilai-nilai sejagat seperti adil dan saksama, toleransi, muafakat, tanggungjawab dan mengamalkan pemikiran rasional serta mengamalkan nilai-nilai ketimuran. Sehingga kini, lima prinsip Rukun Negara tersebut menjadi pegangan dan panduan bagi setiap rakyat Malaysia agar semangat perpaduan, ketaatan dan kecintaan kepada negara terus tekal.

Dengan segala usaha ini sekalipun, masih ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab terus mencetuskan provokasi dengan menyentuh sensitiviti rakyat di negara ini. Mereka tidak mengendahkan langsung akan natijah yang berlaku akibat hantaran sensitif seperti yang berlaku dalam media sosial. Mereka melakukan perbuatan tersebut untuk mendapatkan bilangan tanda “suka” yang banyak serta dikongsi di laman media sosial orang lain. Situasi ini memperlihatkan kepentingan diri segelintir pihak itu melebihi daripada kepentingan negara.

Adakah kita mahu mengulangi sejarah yang lalu? Sudah tentunya tidak! Kita seharusnya menjadikan pengalaman yang lalu sebagai iktibar sekiranya kita mahu negara ini terus aman dan harmoni. Maka, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita harus berpegang pada prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara. Amalkan sikap hormat-menghormati, bertolak-ansur dan menerima perbezaan yang wujud di negara yang rencam ini agar semangat perpaduan dapat disuburkan. Janganlah kita melakukan sesuatu perkara yang merugikan serta memberi kesan buruk kepada semua pihak ibarat “telur sesangkak, pecah satu, pecah semua”.

Konklusinya, sebagai warganegara yang bersemangat patriotik dan bertanggungjawab, kita haruslah mengelakkan diri daripada membuat sebarang provokasi yang bertentangan dengan Perlembagaan dan Rukun Negara. Sebaliknya, kita cuba untuk memupuk persefahaman dan perpaduan negara agar kita dapat terus hidup bersama-sama sebagai rakyat yang bersikap patriotik terhadap negaranya..

Dr. Jayakumary A/P Marimuthu, Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman,Jitra,Kedah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.