Oleh Safinah Saupi
13 Oktober 2023, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam persekitaran perniagaan yang sangat bergelora dan kompleks, mengetahui cara untuk terus bertahan atau mengubah “ancaman” menjadi “peluang” bagi mencapai pembangunan yang lebih mampan menjadi tumpuan penting perniagaan hari ini. Transformasi digital menjadi strategi utama bagi koperasi, syarikat, perniagaan atau perusahaan meningkatkan daya tahan untuk bertindak balas secara berkesan bagi mencapai kemampanan dalam konteks ekonomi digital.

Ekonomi digital ditakrifkan merangkumi semua aktiviti ekonomi yang bergantung pada atau ditingkatkan secara signifikan oleh input digital, iaitu teknologi, infrastruktur, perkhidmatan dan data. Aktiviti ini merujuk pada penggunaan digital oleh pengeluar dan pengguna termasuk kerajaan, swasta dan perusahaan lain (OECD, 2020). Ekonomi digital dipacu oleh sektor e-dagang yang kukuh meliputi peruncitan dalam talian, penggunaan peranti berkaitan dengan Internet serta pelaburan teknologi maklumat dan telekomunikasi. Forum Ekonomi Dunia 2020, menganggarkan 70 peratus nilai baharu akan diwujudkan melalui model perniagaan platform digital. Sektor dengan kadar digitalisasi yang tinggi terutama berkaitan dengan maklumat dan komunikasi serta kewangan dan insurans dapat mendepani cabaran ini dengan lebih baik.

Teknologi digital seperti e-dagang dan pembelajaran secara dalam talian mewujudkan peluang baharu dengan merapatkan jurang antara pengguna dengan koperasi atau peniaga serta pelajar dengan pendidik. Perkembangan ini, menjadikan transaksi ekonomi lebih cepat dan cekap kos. Peningkatan penawaran perkhidmatan platform e-dagang dan penyelesaian pembayaran digital membolehkan banyak perniagaan mampu bertahan malah beralih kepada operasi melalui platform dalam talian untuk terus berkembang. Dari sudut permintaan, pendigitalan meningkatkan penggunaan dengan bantuan platform dalam talian. Dari sudut penawaran, pendigitalan mengubah cara perniagaan beroperasi, iaitu membolehkan kerja secara jarak jauh, meningkatkan penyimpanan data dan menambah baik perkongsian maklumat terutamanya.

Transformasi digital bukanlah konsep baharu. Seawal tahun 1991, Morton, seorang sarjana dalam penyelidikan rintisnya, The Corporation of the 1990s: Information Technology and Organizational Transformation menegaskan bahawa aplikasi teknologi digital akan membawa perubahan radikal dalam pengeluaran, operasi, pengurusan dan mod perkhidmatan perniagaan. Konsep transformasi digital merupakan proses merealisasikan peningkatan perniagaan utama melalui gabungan maklumat, pengkomputeran, komunikasi dan teknologi. Transformasi digital membawa impak meluas.

Daripada perspektif makro, transformasi digital koperasi akan merangsang perubahan mendalam perniagaan dan masyarakat serta boleh meningkatkan produktiviti pekerja, menggalakkan peningkatan struktur perindustrian dan mengukuhkan kebajikan sosial masyarakat. Daripada perspektif mikro, transformasi digital boleh mengukuhkan kecekapan operasi seperti pengeluaran melalui automasi pengeluaran, penambahbaikan proses perniagaan, penjimatan kos dan peningkatan pengkhususan tenaga kerja. Selain itu, transformasi digital juga boleh meningkatkan prestasi korporat koperasi seperti inovasi, prestasi kewangan, pertumbuhan syarikat dan prestasi pasaran modal. Terdapat juga cabaran besar berpotensi dihadapi dengan aplikasi meluas teknologi digital terutamanya dari segi keselamatan dan privasi data.

Transformasi digital boleh memberikan kesan positif terhadap daya tahan koperasi. Dari segi teori, transformasi digital boleh meningkatkan kerjasama menegak dengan rakan kongsi, pembekal dan pelanggan, serta kerjasama mendatar dengan pesaing dan institusi seperti universiti, meningkatkan ketangkasan koperasi, kebolehsuaian dan daya tahan untuk bergelut dalam persekitaran pasaran yang kompleks dan berubah. Selain itu, teknologi digital boleh meningkatkan pemahaman dan kesesuaian koperasi terhadap perubahan persekitaran. Sebagai contohnya, data raya membentuk asas analisis dan pemprosesan data yang membantu koperasi dalam meramal dan mengenal pasti risiko luaran. Teknologi digital seperti kecerdasan buatan boleh membantu koperasi membuat keputusan yang bijak dalam krisis dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

Keupayaan utama tindak balas daripada transformasi digital ialah penerapan teknologi digital yang boleh meningkatkan tahap automasi dan kecerdasan dalam proses pengeluaran dan operasi secara berkesan, mengukuhkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan pembangunan produk dan kos pembuatan serta memendekkan masa pasaran. Kelebihan ini membantu koperasi memperuntukkan sumber dan keupayaan sedia ada dengan cepat dan melibatkan diri dalam aktiviti pengeluaran baharu untuk menangkap dan mencipta peluang dalam menghadapi kesukaran untuk mencapai pertumbuhan yang tidak konvensional.

Teknologi digital mengubah mod interaksi merentasi sempadan yang menghubungkan perniagaan secara berkesan dan meningkatkan kecekapan hubungan dalaman koperasi secara luar biasa. Perkara ini dapat mengoptimumkan proses perniagaan koperasi dan membuat keputusan dalam situasi krisis sambil memperbaiki keupayaan tindak balas. Pada akhirnya, koperasi boleh mengguna pakai teknologi digital untuk membuat analisis data secara mendalam dan lebih luas. Perkara ini akan memberikan keupayaan kepada koperasi dari segi pemantauan, analisis, pemprosesan dan penghantaran data serta mengukuhkan keupayaan koperasi untuk mengenal pasti dan melihat risiko luaran. Teknologi digital dapat membantu koperasi mengenal pasti kemungkinan krisis dan bertindak balas dengan cepat terutamanya melalui keupayaan analisis data. Sebagai contohnya, penyelesaian teknologi maklumat dalam analisis data boleh menyumbang kepada keputusan lebih baik untuk koperasi bertindak balas pantas terhadap perubahan dalam persekitaran.

Berdasarkan perspektif kesan, transformasi pendigitalan boleh mengubah perniagaan tradisional koperasi kepada kelestarian perusahaan dan perniagaan dari segi yang berikut:

Kesimpulannya, transformasi digital mampu memacu pembentukan semula dan pembaharuan model perniagaan dan pengurusan koperasi dari tiga aspek, iaitu perhubungan dan komunikasi, proses agregat data, dan peningkatan kepenggunaan. Sesetengah koperasi berjaya mewujudkan hubungan berkesan dengan pengguna, peringkat dalaman dalam semua aspek rantaian bekalan melalui aplikasi teknologi digital. Perkara ini meningkatkan pecutan luar biasa untuk menyumbang kepada peningkatan perniagaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.