Oleh Aisyah A.
19 Oktober 2023, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Sehari Bersama Wira Negara dan Pameran Kerjaya Pertahanan Negara 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak berlangsung di Hotel Casuarina, Meru pada pagi ini.

Mantan Tentera Udara DiRaja Malaysia, Mejar (B) Dr. Nor Ibrahim Sulaiman.

Dalam segmen Bicara Tokoh Pejuang Perak,  mantan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Dr. Nor Ibrahim Sulaiman berkata,

Negeri Perak mempunyai banyak sejarah, antaranya termasuklah Kebangkitan Semula Komunis pada Jun 1968.

Beliau meluahkan rasa kesal kerana media massa kini banyak berkongsi berkenaan dengan polis, tentera dan komando menjelang bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia bagi menaikkan semangat patriotik rakyat, namun terlupa akan perjuangan tentera udara dalam sejarah kemerdekaan.

Kongsi beliau sambil menunjukkan foto zaman beliau masih berkhidmat,

Tujuan saya mula menulis adalah kerana pada tahun 2008, ada kumpulan yang ingin membawa Chin Peng pulang ke Malaysia dan saya ingin menaikkan semula nama ‘Nuri’.

Nuri merupakan sebuah helikopter yang besar dan dijadikan sebuah pengangkutan yang boleh memuatkan 33 orang tentera dengan senapang di badan termasuk kru.

Pada 24 Julai, beliau hampir dibom selepas mendaratkan Nuri di sebuah kawasan panas yang menjadi target komunis. Namun begitu, beliau dan kru berjaya kembali ke ibu pejabat untuk menyampaikan laporan pengeboman tersebut.

Selain itu, beliau juga menceritakan tentang perjalanan beliau di kolej sebelum menjadi juruterbang. Beliau telah mengisi beberapa borang untuk menjadi tentera, tetapi tidak pernah diberi peluang untuk melepaskan tembakan atau menghidupkan meriam. Apabila tawaran untuk menjadi juruterbang datang, beliau menyambut peluang tersebut dan telah menyumbang tenaga sebagai juruterbang selama 23 tahun perkhidmatan dalam TUDM.

Sementara itu, penulis kelahiran Muar, Encik Radzi Sapiee turut berkongsi peristiwa yang berlaku pada 17 tahun lalu, iaitu terdapat dua jasad pejuang Perak yang meninggal dan dikebumikan di Singapura, kemudian digali dan dibawa pulang jasad mereka ke Malaysia pada 9 September 2006.

Penulis Buku, Encik Radzi Sapiee.

Satu daripada jasad itu ialah jasad Laksamana Mohd Amin.

Apabila saya melihat sejarah perjuangan di Perak, rakyat hanya mengenali Dato’ Maharaja Lela dan Dato Sagor, sedangkan nama Laksamana Mohd Amin tidak begitu dikenali.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi tentang kapal yang dibeli oleh Tanah Melayu yang dinamakan bersempena dengan Laksamana Mohd Amin.

Menerusi pengalaman dan kisah perjuangan tokoh hebat itu, beliau telah menghasilkan sebuah buku yang menceritakan kisah pengorbanan Laksamana Mohd Amin yang dibuang negeri dan rakan pejuang lain yang dihukum gantung sampai mati akibat menentang British.

Susulan daripada itu, beliau mengingatkan rakyat agar mengenang jasa budi Laksamana Mohd Amin yang telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah Tanah Melayu.

Mengulas lanjut, Encik Radzi menyatakan bahawa beliau merupakan waris kepada Laksamana Mohd Amin, dan laksamana tersebut ialah pembesar Melayu Kesultanan Perak yang bersama-sama Ngah Ibrahim Jaafar dan Dato Maharaja Lela yang telah berganding bahu menentang penjajahan British dan telah dihukum pada bulan November 1875.

Encik Radzie berharap agar kehadiran beliau sebagai panel menerusi program itu dapat membuka mata rakyat untuk lebih mengenali pahlawan Tanah Melayu yang mempunyai jasa yang besar dalam menentang British dan memberikan kemerdekaan kepada tanah air yang tercinta ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.