Oleh Aninah Janang
28 Oktober 2023, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Penganjuran Expo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival Baurung-Urung 2023 yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2023, bukan sahaja menjadi pemangkin dalam memperkasakan industri halal di Sabah, tetapi pada masa yang sama dapat memelihara seni budaya bangsa agar tidak ditelan oleh zaman.

Menurut Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam teks ucapan perasmian SAHEX dan Karnival Baurung-Urung yang dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M. Yahya, program tersebut  bukan hanya dilihat dalam konteks meraikan expo dan karnival semata-mata, tetapi mampu menjadi landasan dalam memperkukuh industri halal dan terus mempererat keharmonian kaum dan budaya bangsa di negeri ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M. Yahya, mewakili Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berucap merasmikan SAHEX dan Karnival Baurung-Urung 2023.

“Kerajaan sangat mengambil perhatian mengenai pengurusan halal di negeri ini khususnya apabila pasaran global industri halal  dijangka mencapai jumlah 2.4 trilon USD pada tahun 2024. Keprihatinan ini dizahirkan menerusi penubuhan Majlis Halal Sabah yang berperanan sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincangkan, mengkaji, dan membuat keputusan berhubung dengan isu halal, serta mencadangkan sebarang langkah baharu bagi membangunkan industri halal di negeri ini,” jelas Datuk Seri Panglima Hajiji.

 

Tambahnya lagi, apa-apa yang penting dalam pengurusan halal  ialah semua pihak, termasuklah jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak  langsung perlu terus bekerjasama dalam memberikan tumpuan kepada usaha memperkasakan aspek pensijilan halal kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar PMKS mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pemasaran industri halal di negeri ini.

Melihat usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, saya berharap agar SAHEX akan memantapkan lagi kefahaman berhubung dengan pensijilan halal kepada pemain industri dan pengunjung SAHEX. Pada masa yang sama, usaha ini diyakini akan dapat membina jaringan kerjasama dalam kalangan pemain industri halal di dalam dan di luar negara sekali gus memperkenalkan produk halal buatan tempatan  di negeri ini. Sesungguhnya kita mahu lebih banyak usahawan di Sabah terlibat dengan penghasilan produk halal yang mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga ujarnya turut menyokong penganjuran Karnival Baurung-Urung 2023 yang diyakini dapat memupuk semangat maufakat dan sikap toleransi dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, iaitu selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Kepelbagaian kaum di negeri ini menjadikan Sabah terkenal sebagai destinasi yang sentiasa dilawati dan dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Maka itu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk merancakkan lagi sektor pelancongan dengan penganjuran karnival sebegini yang perlu dipromosikan sebagai satu daripada produk pelancongan di negeri Sabah.”

Sebagai negeri yang mempunyai 35 etnik dan 217 subetnik yang kaya dengan budaya dan adat resam, Datuk Seri Panglima Hajiji yakin keunikan ini akan terus menjadi kelebihan kepada Sabah untuk menarik lebih banyak pelancong berkunjung ke “Negeri di Bawah Bayu” ini pada masa akan datang. Oleh itu katanya, masyarakat Brunei yang memiliki pelbagai khazanah, budaya dan adat resam boleh menjadi penyumbang kepada sebahagian daripada sektor pelancongan yang penting di Sabah. Hal ini termasuklah menerusi seni gambus, seni tari dan produk makanan tradisional yang sentiasa mendapat perhatian para pelancong.

Dalam majlis yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, yang juga Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), dalam ucapan alu-aluannya menyakini bahawa penganjuran SAHEX dan Karnival Baurung-Urung akan menjadi platform yang terbaik untuk memperkasakan industri halal di negeri ini sekali gus menonjolkan keunikan dan kepelbagaian kaum serta budaya yang sememangnya menjadi aset pelancongan terpenting di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, merangkap  Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah, ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya bersempena dengan SAHEX dan Karnival Baurung-Urung, di SICC.

“Pengisian program sepanjang SAHEX dan Karnival Baurung-Urung ini merupakan usaha pemersatu bangsa dalam kepelbagaian etnik di negeri ini. Saya turut meyakini bahawa usaha ini juga akan dapat merapatkan silaturahim dalam kalangan pemimpin dan masyarakat yang hadir untuk kita bersama-sama melestarikan budaya di negeri ini. Lebih penting lagi, usaha ini juga akan terus membantu memberikan kefahaman  kepada usahawan di negeri ini untuk memperoleh sijil halal,” ucap YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin.

Majlis penuh berprestij ini turut dimeriahkan dengan pelancaran tiga buah buku terbitan PMBS, iaitu Buku Kumpulan Diksi dan Frasa Bahasa Brunei; Buku 75 Resepi Turun Temurun: Resepi Masyarakat Brunei; dan Buku Profail: Anugerah Tokoh Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) 2022.

Sementara itu, dua orang tokoh, iaitu YBhg. Datuk Haji Yusof Mohd Kassim dan YBhg. Datuk Dr. Hajah Zaiton Ajamain turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh PMBS 2023.

Majlis tersebut diakhiri dengan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MUIS Holdings Sdn. Bhd. dengan Syarikat SAHA Farm Thailand.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.