5 November 2023, 10:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika bertitah merasmikan Istiadat Konvokesyen KUIPs Kali Ke-6.

Pauh Putra – “Kejayaan para graduan pada hari ini merupakan perkongsian kegembiraan ibu bapa, penjaga dan keluarga. Tahniah diucapkan kerana telah memberikan bimbingan serta nasihat berterusan dengan penuh kasih sayang kepada para graduan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam ilmu pengetahuan serta mendidik mereka dalam membina peribadi, jati diri dan pegangan moral sehingga berjaya”.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-6 KUIPs yang berlangsung di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil  di Istiadat Konvokesyen Kali Ke-6 KUIPs disambut oleh Rektor KUIPs, YBhg. Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan kepimpinan tertinggi universiti yang lain.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), YBhg. Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan kepimpinan tertinggi universiti.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kejayaan graduan KUIPs merupakan permulaan kepada pelengkap pembangunan ketamadunan dan kejayaan Malaysia yang maju, mempunyai nilai hidup yang berteraskan prinsip yang berkualiti tinggi, adil dan saksama.

Raja Muda Perlis ketika menyampaikan skrol kepada graduan KUIPs.

Baginda turut menyeru para graduan agar sentiasa aktif bersama Alumni KUIPs dengan menyumbang, sama ada daripada segi kewangan melalui inisiatif wakaf yang telah diperkenalkan atau pemikiran supaya KUIPs akan bertambah terpelihara, maju dan dapat terus menghasilkan graduan berkualiti yang boleh membina negara pada masa hadapan.

Baginda turut mengurniakan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada 173 graduan dari Fakulti Pengajian Islam, 66 graduan dari Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam, serta 37 graduan dari Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.

Waris Issara, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pula menerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula).

Menurut YBhg. Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, sepanjang tahun 2023 KUIPs telah berjaya meningkatkan jumlah pengambilan pelajar baharu dengan pencapaian sebanyak 122%  berbanding unjuran pada tahun semasa bagi semua peringkat pengajian.

Kecemerlangan KUIPs dalam bidang akademik turut dibuktikan dengan kejayaan pengiktirafan Penarafan Bersepadu Institut Pendidikan Tinggi Malaysia 2022 (SETARA 22) oleh Jabatan Pengajian Tinggi, dengan pencapaian Berdaya Saing yang Setaraf dengan 103 universiti lain di Malaysia.

KUIPs turut menawarkan program pengajian yang memenuhi keperluan semasa dalam pelbagai dalam semua peringkat pengajian dengan jumlah keseluruhan program sebanyak 26 program aktif yang diiktiraf oleh pihak MQA.

Tambah Rektor KUIPs itu lagi,

Pencapaian signifikan ini membuktikan komitmen KUIPs dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berkenan menyantuni penerima anugerah Canselor KUIPs dan penerima anugerah graduan yang lain.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.