Oleh Abd Razak Osman
5 November 2023, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling – Seminar Penglibatan Ibu Bapa dalam Perkembangan Literasi Kanak-kanak 2023 yang berlangsung di Perpustakaan Awam Baling, semalam dapat menggalakkan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak. Seminar tersebut dirasmikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh.

Sebanyak 125 peserta termasuklah kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Baling menyertai seminar anjuran Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dengan kerjasama DBP Wilayah Utara dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) itu.

Ceramah yang disampaikan sedikit sebanyak berupaya merungkai pelbagai permasalahan ibu bapa dalam rangka untuk menggalakkan anak masing-masing agar gemar membaca.

Encik Armin Azhari berkata bahawa DBP menggalakkan penulis tampil menghasilkan buku cerita kanak-kanak dan satu bengkel khas akan diadakan melalui perbincangan yang akan diatur. Tambahnya lagi:

Penulis buku kanak-kanak tidak ramai dan buku setelah dihasilkan boleh mendapat sambutan baik jika menarik jalan ceritanya dan mampu diletakkan di hotel berjenama di negara ini sebagai bahan bacaan.

Menerusi program tersebut, para peserta berpeluang untuk mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Pensyarah AIU, Prof. Dr. Nor Hashimah Hashim bertajuk “Literasi Kanak-kanak Prasekolah” dan ceramah daripada Pensyarah Jabatan Seni Visual (FCVAC) Universiti Selangor, Encik Khairul Azuan Ishak bertajuk “Ilustrasi dalam Pembangunan Literasi Kanak-kanak.”

Manakala Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Husairi Hussein turut menyampaikan ceramah bertajuk “Pemilihan Buku untuk Kanak-kanak.”

Pelancaran buku Aktiviti Perkembangan Literasi untuk Kanak-kanak Prasekolah: Panduan untuk Ibu Bapa yang ditulis oleh Norazly Nordin, Bakare Kazeem Kayode dan Mohamad Nor Hisyam Musa turut diadakan.

Ketua projek seminar tersebut, Norazly Nordin berkata bahawa program pelancaran buku boleh diadakan di tempat lain dengan kerjasama DBP Wilayah Utara dengan PPAK.

Antara tetamu yang turut hadir memeriahkan program tersebut termasuklah Ketua Bahagian Rangkaian Perpustakaan PPAK, Puan Murni Masreena Mohd Disa dan Pegawai Pembantu Pembangunan Masyarakat KEMAS Daerah Baling, Puan Noorhayati Muhamad.

Encik Armin Azhari Saleh (kanan), Pengarah DBP Wilayah Utara melancarkan buku “Aktiviti Perkembangan Literasi untuk Kanak-kanak Prasekolah: Panduan untuk Ibu Bapa” bersama-sama Norazly Nordin.
Ketua Bahagian Rangkaian Perpustakaan PPAK, Puan Murni Masreena Mohd Disa menyampaikan cenderamata kepada Encik Armin Azhari Saleh.
Encik Armin Azhari Saleh menyampaikan cenderamata kepada Pensyarah Jabatan Seni Visual (FCVAC) Universiti Selangor, Encik Khairul Azuan Ishak
Encik Armin Azhari Saleh menyampaikan cenderamata kepada Pensyarah AIU, Prof. Dr. Nor Hashimah Hashim.
Encik Armin Azhari Saleh menyampaikan cenderamata kepada Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Husairi Hussein.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.