6 November 2023, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Raja Muda Perlis, DYTM Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Rejimental sempena Pentauliahan Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP Tahun 2023 yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar.

Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar.

Keberangkatan tiba Baginda dan Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro Canselor UniMAP, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Naib Canselor dan juga Komandan PALAPES UniMAP, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Komandan, YBrs. Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir. Turut hadir ialah Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim (kiri) bergambar bersama-sama Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis.

Titah Baginda,

Pada masa yang sama kita perlu menghargai perbezaan budaya dan agama antara kaum dan memastikan bahawa hak setiap individu dilindungi di samping menghayati kemerdekaan negara yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun.

Raja Muda Perlis, DYTM Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah di Majlis Santapan Malam Rejimental sempena Pentauliahan Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP 2023.

Majlis santapan yang dianjurkan oleh UniMAP pada kali ini adalah untuk meraikan para Pegawai Muda dari Kumpulan Ke-15 yang telah memberikan sumbangan kepada universiti selama tiga tahun ketika berada di UniMAP sebagai pegawai kadet.

Komandan PALAPES UniMAP, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Pegawai Muda kerana mereka berjaya menyeimbangkan  akademik dengan ketenteraan dalam satu-satu masa dan telah membuktikan bahawa perkara tersebut adalah tidak mustahil untuk digapai.

Pegawai Muda semua sudah pasti akan menyumbangkan jasa dan bakti kepada agama, diri, ibu bapa, keluarga, bangsa, negara dan dunia seluruhnya, dalam apa jua bidang yang diceburi.

Menurut beliau, sebanyak 39 orang dari Kumpulan 15 ini telah bekerja di pelbagai syarikat multinasional seperti Intel, Infineon dan Inari, manakala sembilan orang masih melanjutkan pengajian di UniMAP dan baki selebihnya sedang berusaha untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan minat serta bidang kerjaya masing-masing.

Majlis pada malam itu turut diserikan lagi dengan Anugerah Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UniMAP 2023.

Para Pegawai Muda PALAPES dari Kumpulan Ke-15 bergambar bersama-sama Raja Muda Perlis, Raja Puan Muda Perlis, Ketua Polis Perlis dan barisan tetamu kehormat yang lain.

Penerima Anugerah Pegawai Kadet Keseluruhan ialah Leftenan Muda Muhammad Badruzamman Ali, manakala Anugerah Pegawai Kadet Ketenteraan pula diterima oleh Leftenan Muda Mohammad Asyraaf Mohd Roslan dan Anugerah Pegawai Kadet Akademik dianugerahkan kepada Leftenan Muda Tan Yu Xuan.

Selain itu, penerima bagi Anugerah Pegawai Kadet Kepimpinan ialah Leftenan Muda Muhamad Azim Fahmi Ruslan dan Anugerah Pegawai Kadet Ketabahan pula diberikan kepada Leftenan Muda Azzie Shafareena Mohd Azlan.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Pegawai Muda yang diraikan dalam majlis santapan ini.

Baginda berharap agar semua pegawai akan kekal secara aktif dalam aktiviti dan latihan agar pengetahuan ketenteraan yang dimiliki dapat terus dikembangkan dan ditambah baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.