8 November 2023, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seluruh warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali yang bersara wajib, semalam.

Beliau yang telah dilantik sebagai KPPM sejak September 2022 dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa turun padang untuk mendapatkan maklumat yang tepat dalam mencari penyelesaian terbaik tentang sesuatu permasalahan.

Menyorot serba sedikit tentang latar belakang figura berkaliber ini, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali yang merupakan pelajar lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya telah memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik pada tahun 1989 dan terus menabur bakti dalam sektor pendidikan sejak itu. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau termasuklah sebagai Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Negeri Sembilan; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Semarak; Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan; Ketua Sektor Jaminan Kualiti; Timbalan Pengarah dan Pengarah Pendidikan Negeri di JPN Negeri Sembilan serta Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan.

Aspirasi “Anak yang Baik lagi Cerdik” (ABC) yang digagaskan oleh beliau semenjak memegang jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri di JPN Negeri Sembilan mendapat sokongan daripada Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang meminta agar slogan ini diteruskan ke seluruh Malaysia.

Konsep ABC sejajar dengan tujuh teras utama yang menjadi fokus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu penekanan pada konsep karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam kalangan murid.

Aspirasi yang dibawa oleh YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin ini akan terus menjadi pegangan dan penyuntik semangat buat semua pelajar sekolah di seluruh Malaysia, selain menjadi panduan buat ibu bapa dan guru untuk bersama-sama berganding bahu dalam melahirkan insan terdidik yang cemerlang.

Semoga jasa dan khidmat bakti yang ditaburkan akan terus menjadi pembakar semangat dan inspirasi buat warga kerja KPM keseluruhannya, dan juga buat warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya. Selamat bersara, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.