16 November 2023, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seiring dengan kekejaman jenayah perang Israel ke atas Palestin yang semakin tidak dapat dibendung, rakyat Malaysia memilih untuk memboikot produk keluaran Israel. Jika dahulu, hanya segelintir sahaja masyarakat yang memilih untuk memboikot tetapi pada kali ini majoriti masyarakat dilihat memiih untuk turut berbuat demikian sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin. Buktinya, premis yang mempunyai kaitan dengan Israel kini lengang dan tidak meriah dengan pelanggan seperti selalu.  Tindakan tersebut secara tidak langsung membantu keberkesanan dan kemeriahan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 apabila masyarakat mula beralih kepada produk tempatan berbanding dengan barangan luar negara, terutamanya yang berkaitan dengan Israel. Sedangkan, jika masyarakat cakna, membeli barangan Malaysia sebenarnya mampu membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara terutamanya ketika negara sedang dalam proses pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19.

Kempen Beli Barangan Malaysia telah lama dilancarkan, iaitu sejak tahun 1984 lagi dengan nama Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, namun kempen ini telah dijenamakan semula sebagai KBBM pada tahun 2009 oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau yang kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Penjenamaan semula ini merupakan satu daripada usaha untuk mempertingkat perbelanjaan domestik negara berikutan krisis kewangan global yang berlaku pada ketika itu. KBBM juga merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu pengusaha tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka selain berperanan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Dengan cabaran globalisasi perniagaan dan ‘country origin effect’ yang banyak menyumbang kepada pemilihan dan pembelian barangan import pada masa ini, KBBM perlu dilaksanakan secara lebih komprehensif oleh pihak yang bertanggungjawab.

Pada tahun ini, pelaksanaan KBBM sekali lagi diperkasakan dalam usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Sebagai contoh, pasar raya besar seperti Mydin dan Lotus’s, telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan KBBM di pasar raya masing-masing. KBBM 2023 juga merupakan langkah tepat kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan barangan Malaysia semasa isu peningkatan kos sara hidup dan krisis ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini. KBBM 2023 telah mendapat kerjasama daripada 23 rakan strategik yang melibatkan empat inisiatif strategik perniagaan, iaitu pemerkasaan produk tempatan dalam industri peruncitan tempatan dan platform dalam talian, kolaborasi khas media animasi digital serta jualan bertema berdasarkan segmen khusus.

KBBM 2023 turut dimeriahkan dengan penganjuran Jelajah Mini KBBM 2023 yang dilaksanakan dalam skala sederhana di lima zon atau wilayah di seluruh negara. Aktiviti tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada KBBM 2023 dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan. KBBM 2023 perlu dilaksanakan secara komprehensif. Hal ini demikian kerana kempen ini telah menjangkau lebih dua dasawarsa sejak dilaksanakan, namun masih tidak dapat lagi meyakinkan masyarakat untuk memilih dan membeli barangan Malaysia. Walaupun terdapat peningkatan dalam nilai jualan, namun masih tidak cukup lagi jika dilihat dengan jangka masa kempen tersebut dilaksanakan. Persepsi masyarakat terhadap jenama antarabangsa lebih hebat dan berkualiti dan sering dimomokkan dengan barangan Malaysia yang tidak mempunyai kelas dan kualiti menyebabkan kempen ini masih perlu diperkasakan. Bahkan, kaji selidik yang dilakukan melalui platform media sosial Astro AWANI juga menunjukkan bahawa rata-rata masyarakat Malaysia masih mengganggap semangat patriotik tidak boleh diukur dengan memilih, membeli dan memakai barangan tempatan.

Walau bagaimanapun, KBBM 2023 dijangka akan lebih berjaya apabila didorong oleh gerakan atau kempen Boikot, Alih Pelaburan dan Sekatan (BDS) ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang rancak dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini. Masyarakat kini juga semakin selektif dalam pembelian sesuatu produk atau perkhidmatan berbanding dengan sebelum ini sebagai satu daripada tanda jihad ekonomi mereka. Oleh itu, secara tidak langsung mereka akan mula beralih kepada produk dan barangan tempatan terutamanya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Jika dilihat, banyak pengguna media sosial yang berkongsi hantaran tentang produk tempatan yang boleh dibeli bagi menggantikan produk dan perkhidmatan keluaran AS dan Israel yang diboikot. Bahkan, banyak yang berkongsi tentang kelebihan produk tersebut dan banyak juga yang telah mula jatuh cinta dengan produk tempatan.

Diharapkan agar usaha ini tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam, kerana usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu mengimbangi cabaran dan tekanan ekonomi global semasa, khususnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan yang sekali gus mampu membantu meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Pengguna juga perlu mengutamakan produk Malaysia susulan senario kelemahan nilai ringgit yang berlaku pada masa ini. Bahkan, menurut Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pengguna disaran untuk membantu dan menumpukan kepada pemulihan ekonomi domestik, iaitu dengan mengutamakan pembelian barangan keluaran tempatan terutamanya barangan keperluan asas serta mengurangkan pembelian barangan import agar dapat membantu mengurangkan aliran tunai keluar negara.

Pada dasarnya, kejayaan atau kegagalan KBBM bergantung pada masyarakat Malaysia kerana dalam konteks barangan Malaysia, kita bertindak sebagai pengeluar dan juga pembeli barangan dan perkhidmatan. Cabarannya sangat besar kerana persaingan produk luar negara yang digambarkan sebagai berjenama dan berkualiti, acap kali menjadi pilihan keluarga Malaysia walaupun harganya jauh lebih mahal berbanding dengan produk Malaysia. Tahap kesedaran masyarakat dan semangat patriotisme keluarga Malaysia perlu tinggi dalam menjayakan kempen ini. Malaysia juga mempunyai jenama produk yang berkualiti dan diakui oleh masyarakat. Antara jenama tersebut termasuklah Perodua, Proton, Bonia, Fipper dan Beryls. Contoh ini membuktikan bahawa barangan Malaysia mempunyai kualiti yang tidak kurang hebatnya dengan harga yang jauh lebih murah daripada barangan import. Selain itu, banyak produk jenama tempatan berjaya memasuki pasar raya besar dan mendapat tempat di pasaran global, contohnya seperti aiskrim Pop Malaya keluaran syarikat Doluvo Sdn. Bhd. yang telah melebarkan sayap ke Arab Saudi dan negara Asia Barat.

Mentaliti sebahagian daripada masyarakat yang memandang negatif terhadap kualiti produk tempatan perlu diperbetul dan diubah dengan merancakkan lagi KBBM ke seluruh negara dan juga secara dalam talian. Hal ini demikian kerana segelintir masyarakat masih tidak lagi mengenali jenama tempatan terutamanya barangan yang dihasilkan oleh usahawan yang terlibat dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Hal ini mungkin disebabkan oleh sikap acuh tidak acuh masyarakat walaupun hakikatnya penandaan logo buatan Malaysia telah diletakkan pada kebanyakan produk tempatan Malaysia. KPDN juga melaksanakan pembangunan produk tempatan dengan memberi nafas baharu kepada pembungkusan produk sedia ada melalui penjenamaan semula logo, slogan iklan dan pembungkusan mengikut trend pasaran terkini.

Tuntasnya, gerakan BDS yang rancak dilaksanakan oleh masyarakat pada ketika ini secara tak langsung membantu menjayakan KBBM 2023. Tindakan rakyat Malaysia yang memboikot barangan Israel sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin, telah membantu merancakkan ekonomi negara dengan pembelian produk tempatan. Dalam keadaan ekonomi yang masih berusaha untuk memulihkan dan meningkatkan kos sara hidup kini, masyarakat sudah boleh mengubah gaya hidup dan corak perbelanjaan dengan memilih barangan Malaysia yang jauh lebih murah harganya. Masyarakat Malaysia perlu menjadi pengguna yang bijak dengan menjadikan barangan Malaysia sebagai pilihan utama pembelian dan bukan lagi hanya sebagai alternatif semata-mata. Amalan membeli barangan Malaysia berbanding dengan barangan luar dapat menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Ayuh masyarakat Malaysia, bersama-samalah kita menjayakan KBBM 2023 agar dapat membantu memulihkan nusa tercinta!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.