23 November 2023, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendidikan merupakan antara perkara penting yang menjadi keperluan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Hal ini demikian kerana sesiapa sahaja boleh mendapatkan pendidikan tanpa mengira jantina, kaum, agama dan status latar belakang seseorang. Oleh itu, apakah keutamaan yang perlu dititikberatkan dalam pendidikan tersebut? Adakah penilaian yang dilakukan terhadap seseorang atau nilai ilmu itu sendiri? Perkataan ilmu dalam Kamus Dewan Perdana didefinisikan sebagai pengetahuan atau kepandaian tentang hal yang berkaitan dengan dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Walhal secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan atau maklumat yang berkaitan dengan bidang tertentu yang tersusun secara sistematik mengikut prinsip dan kaedah yang digunakan untuk menjelaskan tentang sesuatu bidang ilmu tersebut.

Malaysia mengalami perubahan yang besar dalam sistem pendidikan negara sewaktu era sebelum dan selepas merdeka. Kesedaran tentang keperluan sistem pendidikan kebangsaan muncul pada tahun 1956 dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diperkenalkan melalui Penyata Razak. Dasar ini menekankan pembentukan sistem pendidikan kebangsaan berdasarkan nilai-nilai kebudayaan dan bahasa Melayu. Pada tahun 1957, Dasar Pendidikan Kebangsaan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran.

Perubahan dalam sistem pendidikan Malaysia telah berlaku sepanjang beberapa dekad dan terus berubah mengikut perkembangan masyarakat, teknologi dan keperluan ekonomi. Contohnya pada tahun 2011, Malaysia memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sebagai pendekatan kurikulum baharu yang menekankan pemahaman dan penguasaan terhadap konsep asas serta kemahiran berfikir secara kritis. Perubahan dalam sistem pendidikan Malaysia juga meliputi pelaksanaan pendidikan vokasional dan Program Pendidikan Inklusif. Program Pendidikan Inklusif diperkenalkan untuk membolehkan pelajar berkeperluan khas mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan sama dengan pelajar biasa. Sekolah vokasional dan pusat latihan vokasional telah dibangunkan untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran praktikal. Penekanan terhadap pelaksanaan pendidikan vokasional bertujuan untuk memenuhi keperluan industri dalam pasaran buruh.

Perubahan dalam sistem pendidikan Malaysia bertujuan untuk memperbaiki kualiti pendidikan, menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi dan mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran yang relevan untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Berdasarkan perubahan terhadap sistem pendidikan Malaysia menunjukkan bahawa pendidikan itu bukanlah hanya berfokus kepada bidang akademik semata-mata, namun bersesuaian dengan maksud ilmu itu secara umum, iaitu sebagai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Oleh yang demikian semua pengetahuan adalah sama dan dianggap penting dalam mana-mana bidang. Setiap bidang ilmu memfokuskan pada topik, konsep atau isu tertentu yang relevan dengan bidang tersebut. Contohnya, ilmu sains merujuk pengkajian fenomena alam dengan kaedah sainstifik, manakala ilmu sosial pula menerangkan tentang hubungan dan interaksi antara sesama manusia. Oleh itu, untuk memahami sesuatu bidang ilmu dengan lebih mendalam, seseorang individu perlu memahami prinsip dan kaedah yang berkaitan dengan bidang tersebut.

Dalam pendidikan, nilai ilmu (pengetahuan) dan penilaian (pengukuran prestasi) memainkan peranan yang penting dan mempunyai tujuan yang berbeza-beza.

  1. Nilai ilmu (Pengetahuan):

– Nilai ilmu merujuk pengetahuan dan pemahaman yang diperoleh oleh pelajar semasa proses pembelajaran.

– Penekanan pada nilai ilmu memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami konsep, fakta, teori dan prinsip dalam mata pelajaran atau bidang pembelajaran.

– Nilai ilmu membentuk asas kefahaman yang mendalam dan kemahiran kritikal yang penting dalam pengembangan intelektual dan perkembangan minda pelajar.

  1. Penilaian (Pengukuran prestasi):

– Penilaian dalam pendidikan merupakan proses mengukur pencapaian dan prestasi pelajar dalam bentuk ujian, tugasan, projek atau kaedah lain.

– Penilaian membantu guru dan sistem pendidikan untuk menilai sejauh manakah pelajar dapat memahami dan menguasai kandungan pelajaran serta kemahiran yang diajarkan kepada mereka.

– Penilaian juga membolehkan pelajar dan guru mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kedua-dua elemen tersebut penting dalam pendidikan. Nilai ilmu membantu pelajar memahami, belajar dan mengembangkan kemahiran kritis. Penilaian memberikan maklumat tentang sejauh manakah pelajar dapat mencapai matlamat pendidikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru. Dalam pendidikan yang berkualiti, keseimbangan antara memupuk nilai ilmu dan menggunakan penilaian yang efektif ialah kunci untuk membantu pelajar mencapai potensi mereka secara optimum.

Sebagai rekod, sistem penilaian pendidikan di Malaysia melibatkan beberapa peringkat penting seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA atau singkatannya UPKK pada peringkat sekolah rendah, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga atau PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat sekolah menengah dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta program matrikulasi untuk kemasukan ke universiti. Selain itu, sistem penggredan A, B, C, D dan E juga turut digunakan. Penilaian dalam pendidikan tinggi seperti Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan seterusnya bergantung kepada universiti dan program yang ditawarkan. Sehingga kini, pembaharuan pendidikan terus berlaku dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia dari semasa ke semasa.

Nilai ilmu (pengetahuan) merupakan aspek terpenting dalam pendidikan dan pembangunan individu serta masyarakat. Pengetahuan menjadi landasan pemahaman, pemikiran kritis dan perkembangan kemahiran yang membolehkan individu membuat keputusan yang lebih baik dan menghadapi cabaran dengan lebih bijak. Selain itu, nilai ilmu juga mendorong pembangunan ekonomi, sosial dan budaya bagi sesebuah negara. Perkar ini merupakan asas bagi inovasi, perkembangan teknologi dan kemajuan dalam pelbagai bidang. Dalam konteks pendidikan, memberikan tumpuan kepada pemupukan nilai ilmu penting dalam mempersiapkan pelajar menjadi generasi masa hadapan yang berpengetahuan, kreatif dan berdaya saing.

Persaingan untuk mendapatkan prestasi yang baik dalam pendidikan bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Bukan juga untuk membandingkan bidang mana yang lebih bagus dan hebat. Hal ini demikian kerana setiap bidang ilmu itu berbeza-beza dan mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Seseorang yang mahir dalam sesuatu bidang tidak semestinya mahir dalam sesuatu bidang yang lain. Contohnya, dalam bidang kehakiman, hakim bertanggungjawab memutuskan kes berdasarkan bukti atau hujah tertentu. Mereka tidak mampu menjadi juruterbang yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang, kru serta operasi pesawat, begitu juga sebaliknya. Setiap insan mempunyai kelebihan yang tersendiri dan mereka harus hidup saling melengkapi antara satu sama lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.