1 Disember 2023, 22:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) komited untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi memperkasakan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.

Bagi menjayakan usaha tersebut, pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan pada tahun 2024 bersempena dengan Hari Kemerdekaan Sarawak atau Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai pada setiap tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, Yang Berhormat (YB) Datuk Abdullah Haji Saidol berkata bahawa melalui kerjasama ini, UKAS dan DBP berhasrat untuk mengukuhkan jati diri masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti.

Antara aktiviti yang dirancang termasuklah program pertandingan syarahan yang bertemakan perpaduan dan persembahan pentas seperti teater atau tarian yang akan diusahakan bersama-sama Majlis Seni Sarawak.

Menerusi sidang media selepas berlangsungnya Mesyuarat Kerjasama Strategik antara UKAS dengan DBP di DBP Cawangan Sarawak, petang ini, beliau turut menjelaskan,

UKAS dan DBP juga akan meneroka pembangunan sosial masyarakat, terutamanya dalam memupuk sikap patriotik melalui pelbagai program kemasyarakatan agar selari dengan pembangunan fizikal yang dilakukan oleh kerajaan di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, YB Datuk Abdullah Haji Saidol bersama-sama Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai semasa sidang media di DBP Cawangan Sarawak pada petang ini.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, DBP sentiasa mendukung usaha kerajaan Sarawak untuk memantapkan perpaduan dan memperkukuh semangat kecintaan serta kenegaraan rakyat negeri ini.

“DBP akan memberikan sokongan penuh kepada agenda penting kerajaan dalam meningkatkan perpaduan dan mengukuhkan rasa kecintaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini kepada negara melalui penganjuran program bersama-sama UKAS,” jelasnya lagi.

Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, YB Datuk Abdullah Haji Saidol.

Hadir sama dalam pertemuan ini ialah Pengarah UKAS, Encik Samuel Simon; Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai; dan pegawai DBP Cawangan Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.