7 Disember 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Program Bicara Karyawan Bersama-sama Penulis Buku Sokongan Pendidikan sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023, telah diadakan di pentas utama, Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada pukul 3.30 petang hingga 5.00 petang semalam.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini bertujuan mengupas keistimewaan kandungan buku yang dibicarakan. Moderator yang menjayakan program ini ialah Encik Shahrun Nizal Mohd Nor daripada Bahagian Buku Sekolah, manakala tiga orang panel undangan merupakan penulis Buku Sokongan Pendidikan yang diterbitkan DBP, iaitu Suriyati Tumiran, Gloria Stephanie Griffin dan Lee Poh Lin. Judul buku yang dibicarakan pada program ini ialah Permainan Teka Silang Kata Nombor, Smart Revision Series English Year 3 dan Smart Revision Series English Year 4.

Dari kiri: Lee Poh Lin, Gloria Stephanie Griffin, Encik Shahrun Nizal Mohd Nor dan Suriyati Tumiran sedang membicarakan tentang Kandungan Buku Sokongan Pendidikan terbitan DBP.

Buku Sokongan Pendidikan terbitan DBP terdiri daripada mata pelajaran teras dan buku yang menyokong pendidikan pelajar berkeperluan khas. Selain itu, DBP turut menjadikan program ini sebagai platform untuk menyampaikan kandungan bahan yang diterbitkan agar dapat memberikan manfaat kepada pengguna. Hal ini demikian kerana, kandungan bahan Buku Sokongan Pendidikan terbitan DBP disusun berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) berdasarkan aras kemahiran murid. Buku-buku ini juga disusun menggunakan kaedah dan pendekatan serta laras bahasa yang mudah untuk difahami terutamanya buku yang menggunakan laras bahasa Inggeris.

Dari kiri: Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Encik Ruslan Abdull Raffar, Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Ketua Bahagian Harta Intelek, Puan Norhanifah Mohamed.

Panel pertama, Puan Suriyati Tumiran menyatakan bahawa buku Permainan Teka Silang Kata Nombor disusun berdasarkan DSKP mata pelajaran Matematik Masalah Pembelajaran Tahun 1 hingga Tahun 6.

Walaupun buku ini menyasarkan murid berkeperluan khas, tetapi pelajar arus perdana juga boleh menggunakan buku ini untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka. Buku ini mengandungi lebih daripada 400 soalan dalam 42 set teka silang kata dan disertakan kod QR yang mengandungi rujukan bagi sesetengah kemahiran untuk diaplikasikan dalam penyelesaian soalan yang diberikan. Penulis juga berpengalaman menulis buku teks Matematik Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 6.

Buku ini disusun mengikut kemahiran dan mengikut aras, nombor, operasi tambah tolak, operasi darab bahagi dan disatukan semua kemahiran nombor dan keempat-empat operasi. Saya juga melihat dari sudut anak-anak murid yang gemar aktiviti lembaran kerja yang menyeronokkan dan mencabar seperti aktiviti teka silang kata.

Buku Sokongan Pendidikan Smart Revision Series English Year 3 merupakan buku aktiviti pengukuhan bagi subjek teras Bahasa Inggeris. Buku ini disusun mengikut setiap tajuk pembelajaran yang terdapat dalam buku teks Bahasa Inggeris sedia ada. Oleh hal yang demikian, buku ini memudahkan guru untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas kerana buku ini telah diadaptasi dengan aras kemahiran murid seperti kemahiran membaca, menulis, bertutur dan memahami kandungan bahan buku ini.

Memetik penyataan penulis buku ini, Gloria Stephanie Griffin:

Niat saya menulis buku ini membantu anak murid saya kerana buku sedia ada di pasaran sukar untuk dipelajari terutamanya bagi murid yang bukan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Saya mahu mewujudkan suasana pembelajaran bahasa Inggeris sesuatu yang mudah dan menyeronokkan, di samping menguasai kemahiran yang ada dalam buku ini.

Kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur menjadi elemen utama penulisan buku sokongan pendidikan Smart Revision Series English Year 4. Menurut Lee Poh Lin, beliau mengambil situasi sebenar muridnya yang menghadapi kesukaran menguasai kemahiran asas sewaktu proses PdP bahasa Inggeris ketika menyusun buku sokongan ini. Buku latihan ini dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran yang dinyatakan bagi membantu murid menguasai subjek ini dengan mudah dan menyeronokkan. Selain itu, kod QR yang disediakan mengandungi audio yang dapat membantu dan membimbing murid sewaktu menjawab latihan yang disediakan.

Apabila Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan CFR, kebanyakan buku aktiviti di pasaran kandungan bahannya terlalu tinggi untuk sesetengah pelajar. Hal ini telah mendorong saya untuk menulis kandungan bahan yang dapat menyokong pendidikan mengikut aras kemahiran murid daripada aras rendah hingga ke aras sederhana.

Ahli panel bergambar bersama-sama Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Encik Ruslan Abdull Raffar dan Ketua Bahagian Harta Intelek, Puan Norhanifah Mohamed.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Encik Ruslan Abdull Raffar dan Ketua Bahagian Harta Intelek, Puan Norhanifah Mohamed. Program ini juga turut diserikan dengan kehadiran tetamu undangan Puan Aliza Alwi dari IPG Kampus Ilmu Khas, Encik Daud Kamsany, Guru Besar Sekolah Kebangsaan La Salle 2 dan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Sekolah Kebangsaan Setia Alam, serta Sekolah Kebangsaan Putra Heights 2.

Program Bicara Karyawan Bersama-sama Penulis Buku Sokongan Pendidikan ini telah mencapai objektif penganjurannya untuk mempromosikan buku sokongan pendidikan kepada khalayak yang hadir pada pesta buku berkenaan.

DBP telah menerbitkan sebanyak 31 judul buku sokongan dalam usaha memperkaya bahan pendidikan yang bermutu dan bermanfaat kepada semua peringkat. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar para penulis bersama-sama Pengarah Jabatan Penerbitan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.