Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Ekspresi budaya tradisi” atau dikenali sebagai traditional cultural expression (TCE) merupakan perlindungan yang diberikan kepada sesuatu kumpulan, etnik dan negara yang mempunyai kawalan atau penghasilan sesuatu budaya tradisi (expression of folklore) tersebut. TCE ialah satu bentuk warisan sesuatu budaya yang merangkumi muzik, seni, reka bentuk, cerita rakyat, nyanyian, instrumen muzik, tarian dan sebagainya yang merujuk kepada sesuatu kumpulan, etnik dan budaya termasuklah karya yang layak mendapat hak cipta.
Walau bagaimanapun, terdapat jurang yang besar antara perlindungan hak cipta dan TCE di mana perlindungan hak cipta mempunyai tempoh perlindungan yang tertentu. Di Malaysia, tempoh perlindungan hak cipta dikira dari jangka hayat pencipta dan tamat 50 tahun selepas kematian pencipta. Apabila sesebuah karya hak cipta tersebut tamat, maka karya yang tamat tempoh tersebut akan tertakluk kepada domain awam, iaitu karya tersebut boleh diguna pakai oleh orang ramai tanpa memerlukan keizinan oleh pemilik hak cipta. Kebanyakan karya di bawah TCE berstatus domain awam. Walaupun selepas tamat tempoh perlindungan hak ciptanya, karya TCE mempunyai nilai warisan yang tinggi terhadap sesuatu kumpulan, etnik dan negara. Karya TCE perlu dilindungi oleh negara sebagai suatu warisan budaya. Karya TCE juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan bagi sesuatu kumpulan atau etnik sekiranya undang-undang berkaitan dengan TCE digubal pada masa hadapan.
Apakah TCE?
TCE ialah hasil karya kreatif yang dihasilkan oleh komuniti, masyarakat atau etnik tertentu dan diwarisi dari generasi ke generasi. Draf artikel The Protection of Traditional Cultural Expression yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) mentakrif TCE sebagai:
… means any form of creative/spiritual/artistic/literary expression, tangible or intangible, or a combination thereof, such as actions, materials, music and sound, or verbal forms, as well as their adaptations, which may subsist in written/codified, oral or other form], that is created, generated, expressed or maintained in a collective context by indigenous peoples and local communities; that is the unique product of and/or directly linked with the cultural and/or social identity and cultural heritage of indigenous peoples and local communities; that may be dynamic and evolving; and that is transmitted from generation to generation, whether consecutively or not. Such as dance works of mas, plays, ceremonies, rituals, rituals in sacred places and peregrinations, games and traditional sports/sports and traditional games, puppet performances, and other performances, whether fixed or unfixed.
Di Malaysia, secara amnya, TCE melibatkan unsur kebudayaan tempatan yang diwujudkan melalui pelbagai bentuk seperti seni, muzik, tarian, pakaian tradisional dan lain-lain. Antara ciri utama TCE di Malaysia secara ringkas termasuklah:
TCE sering disampaikan melalui percakapan lisan atau peniruan, iaitu pengetahuan dan tradisi diwarisi secara langsung dari satu generasi ke generasi seterusnya untuk dibukukan atau direkodkan.
TCE mencerminkan kebudayaan komuniti dan membentuk sebahagian daripada identiti sosial masyarakat tersebut. Perkara ini menjadi manifestasi warisan budaya yang membezakan satu kumpulan etnik dari kumpulan etnik daripada yang lain.
TCE termasuk dalam elemen warisan sesebuah komuniti dan boleh merangkumi cerita rakyat, pantun, permainan tradisional dan sebagainya.
Sesetengah TCE mungkin dihasilkan oleh pencipta yang tidak diketahui, manakala yang lain mungkin dicipta oleh individu yang diiktiraf sebagai orang yang memiliki hak untuk menjaga dan menyebarkan TCE tersebut sama ada orang asli, komuniti tempatan melalui kumpulan atau etnik atau kerajaan persekutuan.
Kebanyakkan TCE dicipta dengan niat untuk tujuan spiritual, kebudayaan dan keagamaan. TCE bagi sesebuah kumpulan etnik tertentu sering kali mempunyai makna mendalam dan berperanan dalam upacara keagamaan atau budaya.
Bahan yang digunakan untuk mencipta TCE sering diambil dari alam semula jadi seperti kayu, buluh, kain tradisional dan sebagainya. Ini memberikan elemen keaslian kepada hasil kreatif tersebut.
TCE tidak statik tetapi sebaliknya sentiasa berkembang, dibangunkan dan diperbaharui dalam kalangan komuniti. Perubahan dan penyesuaian dibuat untuk memastikan bahawa TCE tetap relevan dalam konteks semasa.
Status TCE di Malaysia
Secara umumnya, definisi terdekat TCE boleh didapati di bawah Seksyen 3, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWC) di mana akta tersebut menjelaskan maksud TCE dalam konteks warisan kebudayaan yang memberikan maksud seperti yang berikut:
… bentuk ketara atau tidak ketara harta, struktur atau artifak kebudayaan dan boleh termasuk perkara, objek, butiran, artifak, struktur pembentukan, persembahan, tarian, nyanyian, muzik warisan yang penting kepada cara hidup rakyat Malaysia, dari segi sejarah atau semasa, di atas atau di dalam tanah atau warisan kebudayaan di bawah air bagi bentuk ketara tetapi tidak termasuk warisan semula jadi
Dalam mendefinisikan dua bentuk TCE, Akta Warisan Kebangsaan 2005 mengasingkan dua jenis warisan kebudayaan iaitu warisan kebudayaan ketara dan warisan kebudayaan tidak ketara. Warisan kebudayaan ketara termasuklah kawasan, monumen dan bangunan, manakala warisan kebudayaan tidak ketara termasuklah mana-mana bentuk ungkapan, bahasa, sebutan lidah, pepatah, lagu yang dihasilkan melalui muzik, not, lirik boleh didengar, nyanyian, lagu rakyat, tradisi lisan, puisi, muzik, tarian sebagaimana yang dihasilkan melalui seni pentas, persembahan teater, penggubahan bunyi dan muzik, seni mempertahankan diri, yang telah wujud atau wujud berhubung dengan warisan Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia atau berhubung dengan warisan masyarakat Malaysia.
Secara asasnya, TCE melalui kerangka perundangan sedia ada menyimpulkan bahawa:
Walau bagaimanapun, di Malaysia, tiada perundangan semasa yang memberikan hak kepada pihak terlibat yang memegang “hak tersebut” sama ada secara perundangan sah bagi melindungi karya TCE di Malaysia dalam kerangka perundangan di bawah Akta Hak Cipta 1987 ataupun kerangka perundangan semasa yang lain selain di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, terutamanya berkaitan dengan pengeksploitasian yang merosakkan sesebuah karya TCE dalam mengenal pasti identiti sesebuah pemilikan TCE. Hal ini juga boleh memberikan kesan terhadap pemeliharaan dan penggunaan TCE dalam masyarakat untuk mengawal hak dan penggunaan TCE oleh sesebuah pihak atau pengguna bagi tujuan komersial atau apa-apa tujuan.
Penulis berpandangan bahawa TCE yang melibatkan warisan budaya secara kolektif di mana isu kepemilikan yang kompleks mungkin menjadi cabaran. Identifikasi pencipta atau pemilik sah TCE boleh menjadi sukar terutamanya jika karya tersebut wujud dalam komuniti selama berabad-abad tanpa diketahui pemilik sebenar karya tersebut walaupun telah tamat tempoh perlindungan hak cipta. Perbincangan mengenai perlindungan TCE semakin menjadi perhatian pada peringkat antarabangsa dan Malaysia boleh mengambil kira model undang-undang dan inisiatif pada peringkat global ini untuk membangunkan kerangka kerja yang sesuai bagi melindungi isu pemilikan TCE di negara.
Status Perbincangan pada Peringkat Antarabangsa
Garis panduan dalam tindakan kerja ke arah penggubalan undang-undang bagi melindungi TCE ini dibuat berpandukan kepada dokumen kerja yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa WIPO Intergovernmental Committee on Intellectual Property and Generic Resources, Traditional Knowledge and Folklore (IC-GRTKF). Perbincangan yang terkini telah berlangsung pada 2 Disember 2023 hingga 6 Disember 2023 oleh negara anggota di WIPO Geneva, Switzerland. Perbincangan dan pengiktirafan perlindungan TCE di bawah jawatankuasa ini bertujuan untuk memartabatkan TCE sebagai sumber kekayaan bagi negara anggota termasuk Malaysia dalam memberikan arah kepada negara anggota untuk membangunkan peraturan dan undang-undang yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Beberapa aspek yang diteliti dalam garis panduan dan tindakan kerja tersebut adalah seperti yang berikut:
Melalui perkembangan semasa pada peringkat global ini, dicadangkan agar Malaysia dapat turut serta untuk mengambil panduan yang diberikan dan menyusun undang-undang yang relevan dan berkesan bagi melindungi TCE. Hal ini penting untuk memastikan kelestarian dan keberlanjutan warisan budaya TCE yang kaya dan unik di Malaysia.
Cadangan Penggubalan Perundangan Sedia Ada Merujuk Amalan Negara Australia
Dalam perkara ini, dicadangkan beberapa penyelesaian awal utama yang sesuai dan efektif kepada pengiktirafan dan perlindungan TCE di Malaysia.
Secara amnya, undang-undang dan kaedah yang dinyatakan di atas bukanlah merupakan undang-undang perlindungan TCE secara khusus tetapi merupakan satu platform yang membantu pencipta dan komuniti tempatan TCE di Malaysia untuk meningkatkan ekonomi berasaskan industri kreatif, khususbya kepada masyarakat dan kumpulan etnik Orang Asli di Malaysia walaupun tempoh perlindungan hak cipta telah tamat.
Hala Tuju TCE
Malaysia boleh membangunkan undang-undang khusus yang menyeluruh untuk melindungi dan membangunkan pemilikan TCE. Antara cadangan utama yang boleh digubal dan dilaksanakan termasuklah seperti yang berikut:
Kesimpulan
Secara amnya, Malaysia melalui MyIPO telah mempunyai “Malaysia Traditional Knowledge Digital Library” (MyTDKL), iaitu sebuah pangkalan data yang mengumpulkan apa-apa bahan mengenai traditional knowledge (TK) and genetic resources (GR). Walau bagaimanapun, terdapat usaha untuk mencipta dan menggubal pangkalan data dan maklumat TCE baharu yang boleh dinamakan sebagai “Malaysia Traditional Cultural Expressions Digital Library” (MyTCEsDL) sebagai sumber rujukan generasi sekarang dan masa hadapan yang melibatkan kerjasama agensi kerajaan berpusat dan kerajaan negeri atau mana-mana agensi harta intelek yang terlibat. Suatu koordinasi antara agensi kerajaan, pengguna dan kumpulan atau penjaga yang memulihara TCE perlu diselaraskan agar perlindungan TCE dapat dimaksimumkan di Malaysia untuk penggunaan umum tanpa menprejudiskan hak-hak kumpulan etnik tertentu dalam memulihara khazanah warisan kebudayaan tersebut.