2 Januari 2024, 18:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diketuai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, iaitu YBhg. Datuk Sr. Hj. Kamarulzaman bin Mat Salleh menyambut baik hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjalinkan kerjasama melalui beberapa kegiatan yang direncanakan sebagai pengisian takwim aktiviti bagi tahun 2024 termasuklah usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari  menandatangani buku pelawat disaksikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, iaitu YBhg. Datuk Sr. Hj. Kamarulzaman bin Mat Salleh.

Delegasi DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama  dengan DBKL dalam aspek pembudayaan ilmu selaras dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku (KLWBC) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Antara kegiatan yang dicadangkan melalui kerjasama ini termasuklah aktiviti Gerakan Membaca selaras dengan objektif Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dikelolakan oleh DBP; mempromosikan Kuala Lumpur bersempena dengan 50 tahun Jubli Emas Wilayah Persekutuan melalui penerbitan rencana khas dalam majalah terbitan DBP; dan mempergiat aktiviti pembacaan selaras dengan pemerkasaan KLWBC.

Sesi penyampaian cenderamata daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada Ketua Pengarah DBP.

Kunjungan hormat yang berlangsung di Menara DBKL  1 itu turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Encik Mohamad bin Hamim, Pengarah Jabatan Perumahan, Encik Zulkifli bin Mohamad, Timbalan Pengarah Jabatan Pentadbiran, Encik Zulhadi bin Zubir, Sekreteriat KLWBC, Prof. Adjung Ishak bin Hamzah, Puan Rosida binti Ismail, Puan Anita binti Jali dan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Encik Sheikh Faizal bin Sheikh Mansor. Delegasi DBP turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puah Roziah binti Md Yunos, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal bin Hashim, Ketua Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja, Puan Huznah binti Sait dan Perancang Bahasa, Puan Norhasmanalinda binti Mustapa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.