4 Januari 2024, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan mengamalkan sikap keterbukaan dalam kepelbagaian kaum, bangsa, etnik dan budaya. Sikap keterbukaan ini merupakan transformasi untuk memajukan negara dengan memanfaatkan tenaga buruh luar dalam usaha memacu perkembangan ekonomi negara. Namun begitu, sikap keterbukaan tersebut acap kali disalahtafsirkan oleh sebahagian pihak sehingga menimbulkan isu lambakan warga asing.

 

Kebanjiran warga asing disebabkan oleh dasar penjimatan kos buruh dan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dalam segenap sektor, khususnya sektor pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian. Sebahagian besar daripada mereka berasal dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Myanmar dan Bangladesh yang mempunyai nilai mata wang yang lebih rendah berbanding dengan nilai ringgit Malaysia. Buktinya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengesahkan bahawa isu lambakan pekerja asing melebihi unjuran yang sepatutnya 2.4 juta, iaitu sebanyak 2.7 juta direkodkan pada Oktober 2023.

 

Tidak dinafikan bahawa isu lambakan warga asing menjadi semakin hangat kerana sehingga kini tidak dapat menemukan titik noktah kerana populasi mereka semakin mendominasi penduduk tempatan. Berikutan isu ini, kebimbangan dan kegusaran penduduk tempatan jelas kelihatan menerusi media sosial yang membahaskan pelbagai isu yang berakar umbi daripada warga asing. Ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati kerana berkongsi prasarana kerajaan bersama-sama, bahkan menyifatkan mereka “biadap” ekoran tingkah laku yang tidak elok dan besar kepala sehingga mencetuskan amarah pelbagai pihak.

 

Lebih parah lagi, sindiket menyorok barang kawalan atau bersubsidi semakin berleluasa dalam kalangan warga asing yang sepatutnya dinikmati oleh penduduk tempatan. Hal ini menunjukkan penindasan yang melampaui batas dan mereka bagaikan tidak gentar akan perundangan negara. Buktinya, akhbar Harian Metro baru-baru ini melaporkan bahawa dua premis di Ayer Keroh Heights dipercayai terlibat dengan kegiatan menyorok barang kawalan dan bersubsidi, iaitu minyak masak, gula dan tepung. Premis yang terlibat disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

 

Bukan itu sahaja, kebanjiran warga asing turut dirasai di sekitar pasar borong, kedai runcit, pasar malam malah di kaki lima kedai sehingga mewujudkan persekitaran yang kotor, berbau dan sesak rentetan tidak menitikberatkan kebersihan sebagai keutamaan. Keadaan ini mengundang rasa kurang senang penduduk tempatan kerana dikhuatiri akan mencetuskan wabak kolera.

 

Di samping itu, beberapa kawasan menjadi punca rezeki penduduk tempatan turut dimonopoli oleh warga asing sehingga mereka mengiktirafnya sebagai kawasan milik sendiri. Antaranya seperti di Pasar Borong Kuala Lumpur dan di Pasar Chow Kit. Kejadian tersebut berpunca daripada ketamakan penduduk tempatan yang memberikan sewaan lesen perniagaan kepada warga asing. Walaupun ditawarkan dengan nilai sewaan yang tinggi, mereka sanggup membayarnya, asalkan dapat berniaga. Hal ini demikian kerana pihak berkuasa tempatan tidak memberikan kebenaran kepada warga asing untuk memohon atau memiliki lesen perniagaan demi memelihara kesejahteraan ekonomi negara.

 

Sudah terang lagi bersuluh, isu lambakan warga asing mendatangkan implikasi negatif kerana meletakkan Malaysia sebagai lubuk rezeki mereka ekoran permintaan buruh asing yang memberangsangkan, khususnya dalam sektor pembinaan dan perkilangan. Selain itu, kerakusan penduduk tempatan yang menggaji warga asing untuk mengurangkan kos upah, tanpa sedar telah menjadi faktor penarik kepada mereka untuk kekal menetap di Malaysia dan sekali gus menyumbang kepada penambahan lambakan warga asing di dalam negara.

 

Natijahnya, kebanjiran warga asing yang ekstrem mengundang rasa terasing di negara sendiri, penduduk tempatan seakan-akan menumpang di negara mereka. Tambahan pula, pendatang asing tanpa izin (PATI) turut menjadi penyumbang terbesar dalam isu lambakan warga asing di Malaysia kerana kehadiran mereka sukar dijejaki dan ditangani oleh pihak berkuasa. Kehadiran mereka sering kali dikaitkan dengan pasaran buruh sama ada secara sah atau tidak sah bergantung pada proses kemasukan tanpa permit atau dengan permit perjalanan yang sah.

 

Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah mengharungi pelbagai cabaran untuk menangani isu lambakan warga asing bertaraf antarabangsa. Namun begitu, isu tersebut kian berleluasa dan mencetuskan kerisauan pelbagai pihak kerana menindas hak dan peluang penduduk tempatan sebagai warganegara. Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak amat signifikan untuk mengekang peningkatan lambakan warga asing dengan mewujudkan program pembangunan yang bersifat komprehensif dan holistik. Program ini sebagai platform pelahiran bakat tempatan yang berkemahiran dan berketerampilan tinggi yang berupaya mendepani pelbagai cabaran globalisasi dan modenisasi sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

 

Realitinya, matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas buruh asing merupakan suatu perkara yang sukar untuk direalisasikan. Namun begitu, kita tidak seharusnya mengesampingkan isu ini tanpa penyelesaian yang mustahak. Oleh itu, rakyat Malaysia harus berganding bahu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk tampil memberikan laporan tentang perkara yang mencurigakan, khususnya yang berkaitan dengan warga asing. Selain itu, majikan harus bertanggungjawab dalam urusan penggajian warga asing agar mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara dan mengamalkan ketelusan tanpa menindas mana-mana pihak. Persoalannya, sampai bilakah isu ini akan terus membelenggu negara? Dan adakah Malaysia berupaya mencapai status negara maju tanpa kebergantungan terhadap warga asing?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.