5 Januari 2024, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Iranian Journal of Microbiology, pada tahun 2016, lebih 74 juta orang terjejas akibat banjir dengan 4720 kematian dicatatkan. Sebanyak 43 peratus kejadian banjir berlaku di Asia yang disebabkan oleh perubahan iklim dunia. Meskipun pada era ini, penangannya tidak seteruk banjir Huang He (pada tahun 1887, 1931 dan 1938), iaitu siri bah paling dahsyat di China yang membunuh berjuta-juta mangsa, implikasi bencana seumpama itu tetap membimbangkan.

Di Malaysia sendiri, isu banjir berlaku saban tahun sehingga ada yang menganggapnya sebagai hal biasa yang perlu dirempuh terutama penduduk yang tinggal di Pantai Timur. Pandangan tersebut nampak seperti satu seloroh biasa, namun tidak boleh dipandang enteng.

Berdasarkan rekod, Banjir Kuning di Kelantan yang tercetus pada penghujung Disember 2014 antara paling diingati. Masakan tidak, bukan sahaja kerugian dianggarkan mencecah RM200 juta, malah lima nyawa telah melayang. Media tempatan melaporkan, sebanyak 158 476 orang penduduk terpaksa dipindahkan. Pada ketika itu, keadaan dianggap begitu suram memandangkan seluruh daerah (kecuali Bachok) dalam keadaan tidak keruan apabila bekalan air dan elektrik terputus selama lebih seminggu.

Walaupun tragedi itu masih terpahat dalam ingatan masyarakat Malaysia, peristiwa pada tahun 2022, iaitu pada saat wabak COVID-19 masih menjadi kegusaran rakyat, kawasan Lembah Klang yang lazimnya tidak pernah dilanda bah akibat Monsun Timur Laut juga “dikejutkan” dengan fenomena banjir. Dalam tempoh 48 jam, situasi menjadi kelam-kabut dan huru-hara apabila rata-rata agensi berkaitan terpaksa menguruskan keadaan yang tidak terkawal, tambahan tidak bersedia menghadapi suasana mencemaskan. Fenomena yang digelar “Banjir 100 Tahun” itu akhirnya menyaksikan 25 orang mangsa termasuk sukarelawan terkorban.

Pada saat artikel ini ditulis, limpahan air berskala besar sedang membadai Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kejadian ini dilaporkan semakin memburuk apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara semakin meningkat dari hari ke hari. Banjir yang semakin menunjukkan “taringnya” itu telah membuatkan Tenaga Nasional Berhad mengambil langkah drastik dengan menutup bekalan elektrik di 16 kawasan di Rantau Panjang yang umpama sebuah pulau. Lebih menyayat hati, seorang bayi lelaki berusia 18 bulan menjadi korban pertama banjir dan seorang murid perempuan berusia 11 tahun ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang di Kampung Petai Dusun dekat Rantau Panjang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat di Kelantan juga baru menyelamatkan seorang remaja orang kurang upaya yang tersangkut pada pokok getah selepas dihanyutkan arus deras banjir di Simpang Tiga, Kampung Bunchit, baru-baru ini. Tidak hanya itu, lebih 10 ribu orang penduduk Orang Asli yang mendiami beberapa pos pedalaman di Gua Musang dilaporkan terperangkap ekoran hujan lebat berterusan.

Tujuh Penyakit

Satu perkara yang sukar dielakkan ketika banjir mahupun pasca banjir, mangsa terdedah kepada risiko wabak penyakit berjangkit yang berpunca daripada mikroorganisma patogen seperti bakteria, virus, parasit dan kulat serta penyakit bawaan air. Di samping itu, impak susulan lain daripada kejadian banjir ialah proses pembiakan nyamuk yang berleluasa termasuk krisis pencemaran air.

Yang berikut disenaraikan tujuh penyakit bawaan air yang perlu diperhatikan bagi mengelak kemudaratan berpanjangan:

  1. Demam kepialu atau demam tifoid
  • Demam kepialu merupakan satu jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi. Bakteria tersebut terdapat dalam darah, urin, najis pesakit dan juga pembawa.
  • Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pembawa ialah mereka yang memiliki bakteria tifoid, tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala demam. Golongan itu dikatakan sukar untuk dijejak kerana mengeluarkan bakteria berkenaan menerusi najis, seterusnya menjangkiti pihak lain.
  • Berdasarkan statistik News Medical Life Science, kira-kira 20 juta orang di seluruh dunia mengalami demam kepialu setiap tahun terutama di negara dunia ketiga.
  • Para pengembara yang melancong ke negara dalam kategori itu dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin beberapa hari sebelum berlepas.
  • Antara cara untuk mengelakkan penyakit ini termasuklah menghindari diri daripada minum air yang tidak dibotolkan dan jangan makan makanan di tepi jalan.
  • Seandainya penyakit tersebut dijangkiti juga, rawatan paling asas yang diberikan adalah dengan antibiotik.

 Tanda-tanda seseorang dijangkiti demam kepialu:

  • Demam panas berpanjangan dan sakit kepala.
  • Sembelit, sakit perut dan cirit-birit.
  • Kurang selera makan, badan terasa sakit, lemah dan lesu tidak bermaya.
  • Mata pesakit menjadi layu dan cengkung. Ada kalanya, tidak sedarkan diri dan meracau.
  • Terdapat ruam atau bintik merah pada bahagian atas badan.

 

  1. Taun atau Kolera
  • Penyakit taun disebabkan oleh bakteria Vibrio cholerae yang merebak melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dengan najis atau muntah orang dijangkiti.
  • Selain boleh mengakibatkan dehidrasi yang teruk, gangguan peredaran darah, kegagalan buah pinggang dan cirit-birit, taun boleh membawa maut dalam masa beberapa hari atau jam selepas terdedah kepada bakteria.
  • Namun begitu, menurut News Medical Life Science, hanya satu daripada 10 orang akan mengalami gejala yang mengancam nyawa.
  • Manakala menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penyelidik menganggarkan terdapat 1.3 juta hingga 4 juta kes taun setahun pada peringkat global. Ramalan turut menunjukkan, sebanyak 21 000 hingga 143 000 kematian akan berlaku natijah daripada penyakit bawaan banjir itu.
  • Antara langkah selamat yang perlu dipraktikkan termasuklah membasuh tangan dengan kerap, nikmati makanan yang betul-betul masak, membanyakkan pengambilan sayur dan buah dalam diet harian serta mendapatkan sumber air bersih.

Gejala taun meliputi:

  • Loya dan muntah-muntah
  • Pesakit mula mengalami simptom cirit-birit
  • Kekejangan otot

 

  1. Hepatitis A
  • Hepatitis A memberikan kesan kepada hati manusia. Laluan jangkitan penyakit ini biasanya berlaku melalui mulut. Namun begitu, penyakit ini juga merebak melalui sentuhan fizikal dengan orang yang dijangkiti.
  • Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, individu yang menderita hepatitis A akan berasa sakit selama beberapa minggu hingga beberapa bulan. Namun begitu, penyakit ini boleh pulih sepenuhnya dan tidak mengalami kerosakan hati berpanjangan.
  • Dalam kes yang jarang berlaku, penyakit itu boleh menyebabkan kegagalan hati dan juga kematian, lebih-lebih lagi kepada golongan warga emas termasuklah mereka yang mempunyai masalah kesihatan serius. Pada 2018, sejumlah 12,474 kes hepatitis A dilaporkan di Amerika Syarikat.
  • Sementara di Malaysia, jurnal bertajuk Hepatitis di Malaysia: Dahulu, Kini, dan Masa Depan yang disiarkan di National Library Of Medicine Amerika Syarikat yang ditulis oleh Ruksana Raihan mendedahkan bahawa 50 peratus rakyat Malaysia berumur kurang daripada 30 tahun tidak mempunyai antibodi kepada hepatitis A.
  • Memetik kenyataan MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula, tiada rawatan khusus untuk penyakit berkenaan. Pesakit hanya diminta berehat dan banyakkan minum air. Ambil parasetamol untuk melegakan demam. Cara lain untuk mencegah hepatitis A adalah dengan mendapatkan vaksin.

Antara gejala hepatitis A termasuklah:

  • Demam, sakit perut dan berasa lesu.
  • Pesakit kurang selera makan, loya dan mengalami muntah.
  • Mata dan kulit kekuningan.
  • Air kencing seakan-akan warna coklat atau warna teh.

 

  1. Salmonella
  • Berpunca daripada bakteria Salmonella yang merupakan satu daripada empat penyebab utama penyakit cirit-birit global. Kebanyakan kes Salmonella atau Salmonellosis ringan, namun tetap boleh mengancam nyawa. Rata-rata kes Salmonella berpunca daripada perbuatan menelan makanan atau air yang tercemar dengan najis.
  • Selain itu, daging yang kurang masak, produk telur, buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh membawa penyakit tersebut. Jangkitan ini memberikan kesan besar kepada golongan kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.
  • Jangkitan Salmonella menyebabkan dehidrasi badan. Rawat dengan minum cecair dan elektrolit. Jangkitan yang lebih serius boleh memerlukan kemasukan ke hospital dan antibiotik.
  • Lazimnya, simptom akan muncul beberapa jam hingga beberapa hari selepas terdedah kepada bakteria tersebut, sekali gus menjejaskan perut dan usus.

Gejala lain:

  • Cirit-birit dan kadangkala berdarah.
  • Demam, pening dan muntah.
  • Sakit perut atau berlaku kekejangan kekejangan.

 

  1. Escherichia coli (E. coli)
  • Merupakan bakteria yang biasa ditemui dalam usus manusia, saluran kencing dan bahagian lain. Kebanyakan strain coli tidak berbahaya, namun sesetengah strain seperti E. coli (STEC) yang menghasilkan toksin Shiga boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan yang teruk.
  • Penyakit tersebut disebarkan kepada manusia terutamanya melalui makanan yang tercemar seperti produk daging yang kurang masak, susu dan sayur-sayuran mentah tercemar.
  • Selain itu, tertelan air yang mengandungi coli mungkin semasa berenang di kolam, tasik atau kolam juga antara satu daripada punca penyebaran penyakit tersebut.
  • Menurut laman web perubatan WebMD, mereka yang dijangkiti biasanya akan sembuh dalam masa seminggu. Walau bagaimanapun, sesetengah orang mempunyai komplikasi serius dipanggil sindrom hemolytic uremic yang berupaya menjejaskan buah pinggang mereka.
  • Untuk beberapa jenis coli yang dikaitkan dengan cirit-birit, antibiotik boleh memendekkan tempoh kesakitan. Namun begitu, jika seseorang demam, mengalami cirit-birit berdarah atau disyaki dijangkiti E. coli yang menghasilkan toksin Shiga, antibiotik tidak boleh diambil kerana dikhuatiri boleh meningkatkan pengeluaran toksin Shiga dan memburukkan gejala yang dialami.

Antara gejala yang paling biasa dialami pesakit termasuklah:

  • Perut kejang dan loya.
  • Cirit-birit yang mungkin berdarah.
  • Rasa loya dan keletihan yang ketara.

 

  1. Leptospirosis
  • Berpunca daripada bakteria Leptospira yang dijumpai dalam air kencing haiwan seperti lembu, anjing dan tikus yang mudah merebak apabila dibawa air ketika banjir.
  • Bakteria ini boleh masuk ke dalam badan melalui kulit atau membran mukus (mata, hidung atau mulut) terutamanya jika terdapat luka atau calar pada kulit.
  • Tanpa rawatan, leptospirosis boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, meningitis (keradangan membran di sekeliling otak dan saraf tunjang), kegagalan hati, gangguan pernafasan dan juga kematian.
  • Terapi antibiotik untuk leptospirosis ringan biasanya tidak diperlukan lantaran kebanyakan kes akan sembuh sendiri. Antibiotik oral memendekkan perjalanan penyakit dan mungkin yang paling penting, mengurang dan memendekkan perkumuhan Leptospira melalui air kencing.

Antara gejala yang paling biasa dialami pesakit termasuklah:

  • Demam panas, ruam sakit kepala, sakit otot dan menggigil.
  • Muntah-muntah, jaundis dan mata menjadi kemerah-merahan.
  • Sakit perut, cirit-birit.

 

  1. Demam Denggi
  • Kira-kira 400 juta jangkitan denggi berlaku di seluruh dunia pada setiap tahun. Di Malaysia, jumlah kes demam denggi meningkat 10 kes atau 0.4 peratus kepada 2272 kes pada Minggu Epidemiologi ke-43, iaitu bagi tempoh 22 Oktober 2023 hingga 28 Oktober 2023 lalu berbanding dengan 2262 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
  • Seperti yang diketahui ramai, demam denggi berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti virus denggi. Nyamuk akan dijangkiti apabila menggigit seseorang yang mempunyai virus denggi dalam darahnya.
  • Golongan kanak-kanak dan kumpulan yang tidak pernah dijangkiti sebelum ini cenderung mempunyai kes yang lebih ringan.
  • Bagaimanapun, demam denggi berdarah tidak mustahil boleh berlaku. Kesannya ialah kerosakan limfa dan saluran darah, pendarahan pada hidung dan gusi, pembesaran hati serta kegagalan sistem peredaran darah.
  • Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan mereka yang mengalami jangkitan denggi kedua atau seterusnya dipercayai berisiko lebih besar untuk mengalami demam denggi berdarah.
  • Pada tahun 2019, Food and Drug Administration meluluskan vaksin dipanggil Dengvaxia untuk membantu mencegah denggi daripada berlaku pada remaja berumur sembilan hingga 16 tahun yang telah pun dijangkiti denggi. Namun begitu, pada masa ini tiada vaksin untuk menghalang populasi umum daripada dijangkiti.

Antara gejala yang paling biasa dialami pesakit termasuklah:

  • Demam panas dan sakit kepala yang teruk.
  • Sakit pada belakang mata.
  • Nyeri pada sendi dan otot, letih, loya dan muntah-muntah.
  • Ruam pada kulit yang muncul dua hingga lima hari selepas permulaan demam
  • Pendarahan ringan seperti hidung berdarah, gusi berdarah atau lebam.

 

Lindungi Kesihatan

Sememangnya fenomena alam sukar untuk dielakkan. Meskipun kita akan mempersoalkan mengapa sesebuah kampung atau keluarga masih menetap di kawasan banjir walau pernah menjadi mangsa, namun begitu, banyak hal perlu dipertimbangkan sebelum soalan itu dilontarkan.

Faktor kewangan menjadi punca utama penduduk masih kekal di kawasan yang sering dinaiki air.

Penulis yang sering membuat liputan bah sering mendengar rintihan golongan ini. Kekangan kewangan menjadi antara punca utama mereka tidak berpindah. Ada juga yang tidak sanggup berhijrah ke negeri lain lantaran mahu berada dekat dengan sanak saudara dan anak-anak.

Sesetengah mangsa juga berasakan, itulah tempat asal mereka dan tiada sebab untuk berpindah jauh. Menurut mereka lagi, kejadian banjir setahun sekali. Namun apa juga alasan yang diberi, wajarlah kita menyediakan payung sebelum hujan.

WHO menyarankan orang ramai yang berhadapan dengan banjir agar mematuhi amalan penting yang digariskan demi keselamatan dan kesihatan bersama. Antaranya termasuklah:

  1. Didihkan air sebelum minum atau menyediakan makanan.
  2. Jangan gunakan air banjir untuk membasuh pinggan, menggosok gigi, mencuci baju termasuk membersihkan makanan. Sentiasa basuh tangan dengan sabun dan air jika terkena air banjir.
  3. Elak berjalan atau memandu di kawasan banjir dan genangan air.
  4. Membuang semua makanan yang sudah terkena air banjir kerana boleh meningkatkan risiko penyakit bawaan air.
  5. Buang apa-apa barang yang tidak boleh dibasuh dengan baik. Bersihkan barangan seperti bantal, tilam termasuk dinding dan kain dengan peluntur sabun disusuli dengan air bersih.
  6. Jika rumah berada di kawasan air bertakung, gunakan ubat nyamuk. Pakai juga seluar dan baju lengan panjang dan tutup katil dengan kelambu semasa tidur.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.