9 Januari 2024, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi bergambar Majlis Perasmian Penutupan bersama-sama komuniti Felda Teloi Kanan, Kedah.

Kuala Ketil – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Unit Kokurikulum menganjurkan program Eksplorasi Kayak dan Keluarga Angkat bersama-sama penduduk Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah selama tiga hari dua malam, baru-baru ini.

Bagi melahirkan dan membentuk graduan yang seimbang dan holistik, sinergi antara pihak institusi pengajian tinggi, pelajar dan komuniti sangat penting untuk memastikan agenda nasional negara dapat dicapai dengan jayanya.

Sekitar kawasan pelepasan eksplorasi kayak.

Eksplorasi berkayak telah bermula dari Kampung Berona, Sik, Kedah menuju ke Felda Teloi Kanan dengan melibatkan 40 orang pendayung dalam kalangan pelajar UiTM Cawangan Perlis. Selain itu, seramai 45 orang pelajar kokurikulum kursus Kesatria Kembara 3, UiTM Cawangan Perlis menyertai program itu.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Encik Mohd. Tarmizi Puteh selaku Pengerusi Kampung Berona, Kedah.

Eksplorasi yang jaraknya kira-kira 30km ini turut dibantu dan dipantau oleh anggota penyelamat dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah dan Emergency Response Team dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik, Kedah.

Menurut Saudara Mohd. Adib Zuhair Roslee selaku pengarah program,

Objektif program ini diadakan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang penganjuran program bersama komuniti luar, sekali gus mempraktikkan kemahiran yang dipelajari sepanjang semester pengajian dalam kursus kokurikulum Kesatria Kembara.

Melalui program ini, hubungan dan interaksi sosial antara pelajar sebagai generasi muda bersama komuniti setempat dapat dikukuhkan lagi. Bahkan, program ini dapat menyuburkan sifat menghormati dan menyayangi antara satu sama lain.

Sesi serahan sijil penghargaan kepada keluarga angkat.
Pelbagai aktiviti dilakukan di Felda Teloi Kanan.

Pelbagai aktiviti dan modul telah dilakukan, Program Anak Angkat yang melibatkan tujuh buah keluarga peneroka Felda. Golongan belia Felda juga turut berpeluang untuk mempelajari dan mengenali lebih lanjut berkaitan dengan sukan rekreasi kayak melalui pengisian secara praktikal dalam program ini.

Bagi kanak-kanak pula, pelbagai aktiviti berbentuk fizikal dan sukaneka dijalankan yang pastinya meninggalkan kenangan yang manis buat pelajar UiTM Cawangan Perlis bersama-sama warga Felda Teloi Kanan.

Majlis Perasmian Penutupan pula telah diadakan di Dewan Felda Teloi Kanan dan dirasmikan oleh Encik Muhammad Najib Mohd Redzwan, Ketua Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Felda Teloi Kanan, Encik Badrol Baharom, Ketua Peneroka Felda Teloi Kanan, Encik Azmi Ibrahim, Pengerusi GPW Felda Teloi Kanan, Puan Sofiah Yaakob dan warga peneroka Felda Teloi Kanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.