Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMenara Merdeka 118 dilimpahi cahaya lampu berwarna-warni dan pertunjukan lampu laser ketika pembukaan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semalam.
Menara ini yang sebelumnya dikenali sebagai Warisan Merdeka merupakan bangunan pencakar langit dengan ketinggian 678.9 meter, yakni melakar sejarah menjadi bangunan tertinggi di Malaysia, serta Asia Tenggara setelah pembinaannya menelan masa hampir 10 tahun.
Lebih membanggakan, Merdeka 118 ini turut menempa nama di persada dunia apabila direkodkan sebagai bangunan kedua tertinggi selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828 meter.
Mercu kebanggaan tanda terbaharu ibu kota itu dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd.
Untuk rekod, reka bentuk Merdeka 118 adalah berdasarkan siluet (bayang) Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mengangkat tangan sambil melaungkan laungan “Merdeka!” pada 31 Ogos 1957, manakala bahagian puncak menara di atas bangunan itu mencerminkan imej bapa kemerdekaan mengangkat tangan beliau semasa pengisytiharan kemerdekaan.
Usaha ini dilihat selaras dengan visi kerajaan dalam membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City dan Jabatan Warisan Negara.
Pelan Induk Strategik KLCCD ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem berpusatkan kreativiti dan budaya yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Malaysia.