Oleh Safinah Saupi
18 Januari 2024, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memperkasakan pengurusan integriti koperasi terutamanya dalam membanteras rasuah menjadi satu daripada agenda utama gerakan koperasi. Usaha ini selaras dengan dasar dan matlamat yang digariskan oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang semakin membimbangkan. Perkara ini telah disuarakan dalam ucapannya pada 27 Julai 2023 bersempena dengan pelancaran “Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” yang menggariskan tujuh penanda aras sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun. Penanda aras keenam meletakkan sasaran Malaysia untuk mencapai kedudukan negara pada tangga ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI).

Hal ini susulan daripada kedudukan Malaysia dalam CPI yang berada pada kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara pada tahun 2022 berbanding dengan tangga ke-62 pada tahun 2021. Skor CPI Malaysia merosot satu mata daripada 48 mata pada tahun 2021 kepada 47 mata pada 2022 yang menggambarkan rasuah di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan.

Bagi membasmi rasuah dan membawa negara ke tangga 25 seperti yang disasarkan oleh kerajaan, sektor koperasi juga tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting untuk mencapai aspirasi kerajaan. Perkara ini disuarakan oleh Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), YBhg. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, semasa menyampaikan ucapan perasmian Seminar Anti Rasuah menegaskan bahawa,

ANGKASA akan terus menganjurkan sebanyak mungkin program untuk meningkatkan amalan integriti dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah dengan mensasarkan setiap anggota koperasi yang berjumlah lebih daripada tujuh juta orang mendapat manfaat dan memastikan integriti menjadi amalan pengurusan koperasi di negara ini.

Sebagai badan puncak gerakan koperasi di negara ini, ANGKASA akan terus mempromosikan nilai-nilai ketelusan, amanah dan tadbir urus yang merupakan inti pati integriti untuk kelestarian gerakan koperasi di negara ini. Pendekatan ini dapat meningkatkan kesedaran seterusnya mengekang sebarang perbuatan rasuah dalam apa-apa jua bentuk, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung dalam pengurusan dan tadbir urus koperasi. Setiap pemimpin koperasi juga perlu mematuhi akta dan peraturan koperasi demi mewujudkan persekitaran budaya kerja yang positif dan kondusif.

Punca atau masalah rasuah dalam organisasi dan individu disebabkan oleh masalah pengurusan integriti. Sesebuah organisasi dikatakan berada pada tahap pengurusan integriti yang baik apabila secara berterusan mengadaptasikan amalan tadbir urus terbaik dalam operasi dan pengurusannya. Apa-apa perancangan, tindakan dan keputusan yang diambil hendaklah berasaskan kepada nilai-nilai murni dan kepentingan organisasi, bukan untuk kepentingan diri. Perancangan dan tindakan mestilah betul dari segi moral, etika dan undang-undang. Banyak orang terjerumus dalam rasuah disebabkan oleh tidak dapat membezakan perkara ini. Beliau turut mengkategorikan pengurusan integriti kepada dua tahap, iaitu organisasi dan individu. Organisasi yang melaksanakan pengurusan integriti yang baik tidak bermakna tidak berlaku rasuah. Hal ini demikian kerana pengurusan organisasi diuruskan oleh manusia yang mempunyai pelbagai karakter. Dalam pengurusan integriti pada tahap individu, perlu ada latihan yang berterusan. Contohnya meningkatkan prinsip moral dan menanam nilai-nilai murni dalam jiwa mereka demi kepentingan diri dan organisasi agar tidak timbul konflik. Oleh itu, ilmu dan kompeten serta integriti perlu disemai oleh individu secara berterusan di dalam organisasi.

Pengurusan integriti merupakan elemen penting dalam membantu koperasi mencapai arah tuju organisasi; menyelaras proses kerja dan akauntabiliti; membantu membuat keputusan yang baik; menentukan peranan dan tanggungjawab; dan dapat mengurangkan risiko. Apabila pengurusan integriti koperasi berjalan dengan baik, imej dan penerimaan masyarakat juga akan baik seterusnya menjadi penentu prestasi dan kejayaan koperasi.

Punca utama yang menyumbang kepada isu-isu integriti dan berlakunya rasuah adalah disebabkan oleh masalah asas manusia sendiri yang mempunyai keinginan tidak terbatas sedangkan sumber yang ada terbatas. Apabila mereka memiliki ruang dan peluang serta kuasa, biasanya manusia akan cuba memenuhi sifat tamak dan mementingkan diri. Bagi seorang pemimpin, kegagalan mengimbangi antara kuasa dan peluang dengan sifat tamak dan mementingkan diri akan menyebabkan pemimpin tersebut gagal melunaskan tanggungjawab dan amanah dengan penuh integriti.

Dalam struktur koperasi, terdapat empat komponen utama yang penting bagi pengurusan integriti, iaitu Anggota, Anggota Lembaga Koperasi (ALK), Pengurusan dan Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD). Mesyuarat Agung merupakan punca kuasa tertinggi dalam koperasi. Anggota mempunyai kuasa untuk memilih anggota lembaga, meluluskan belanjawan serta perancangan koperasi. Anggota perlu melunaskan tanggungjawab mereka dengan memilih anggota yang kompeten dan bersih, meluluskan belanjawan sejajar dengan perancangan koperasi dan menilai perancangan dengan baik bukan hanya mementingkan elaun kehadiran mesyuarat dan dividen. ALK pula perlu menentukan arah tuju koperasi dengan jelas dan membangunkan dasar dan polisi serta peraturan bagi mencapai arah tuju tersebut. Pengurusan pula perlu melaksanakan semua dasar dan polisi yang telah ditetapkan dengan baik melalui pelaporan secara berkala kepada ALK bagi tujuan pemantauan dan penilaian. JAD berperanan memastikan kawalan dalaman koperasi berjalan dengan baik dan pengurusan melaksanakan polisi dan peraturan yang ditetapkan dengan sebaik-baik mungkin dan melaporkan serta mencadangkan penambahbaikan berterusan kepada ALK. Sekiranya keempat-empat komponen ini bergerak dengan baik, pengurusan integriti koperasi berada pada tahap yang baik, perkara ini juga akan memberikan hasil yang baik kepada koperasi.

Bagi memastikan komponen ini bergerak dengan berkesan dan penuh integriti, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengeluarkan Garis Panduan Tadbir Urus Koperasi (GP 27) berkuat kuasa pada Mei 2015 yang mengandungi 15 prinsip berkenaan dengan peranan anggota, lembaga, pengurusan dan JAD.

Berdasarkan Seksyen 3A, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, koperasi dan pegawainya dikategorikan sebagai badan awam dan pegawai awam. Beliau menjelaskan bahawa rasuah terbahagi kepada empat jenis, iaitu memberi dan menerima wang, salah guna kuasa, penyelewengan dan tuntutan palsu. ALK dan pegawai yang terlibat boleh disiasat menggunakan Akta SPRM. Sekiranya koperasi menubuhkan subsidiari, ia tertakluk di bawah seksyen 17A, Akta SPRM. Mereka yang terlibat dengan rasuah akan didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman, subsidiari itu juga boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan membenarkan pegawainya menerima rasuah.

Empat perkara yang menyebabkan berlakunya rasuah termasuklah keperluan, tamak, peluang dan pendedahan. Statistik menunjukkan kegiatan rasuah dalam kalangan belia amat membimbangkan. Statistik tangkapan belia di bawah umur 40 tahun menjangkau 47.1 peratus daripada jumlah keseluruhan tangkapan SPRM bagi tempoh lima tahun, iaitu dari tahun 2019 hingga September 2023. Hal ini menunjukkan trend yang tidak baik terhadap pembangunan negara dan perlu ditangani dengan segera. Program pendidikan dan kesedaran tentang integriti dan anti rasuah perlu dilaksanakan secara serius dan meluas bermula dari rumah, di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

Kes rasuah yang berlaku di sektor koperasi juga agak membimbangkan dengan peningkatan ketara dari tahun ke tahun. Berdasarkan aduan yang diterima dan tindakan yang diambil oleh SPRM, kes rasuah di koperasi adalah berkaitan dengan salah guna kuasa ALK, memberi dan menerima wang dan membuat tuntutan palsu. Sehingga Oktober 2023, sebanyak 65 aduan telah diterima, 25 kertas siasatan telah dibuka dan 23 tangkapan telah dibuat oleh SPRM.

Sebagai rumusan,  kerajaan dan agensi-agensinya telah melaksanakan beberapa dasar dan tindakan dalam usaha untuk meningkatkan pengurusan integriti terutamanya dalam sektor koperasi seperti yang berikut:

 

  1. Melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional pada tahun 2019 di mana setiap organisasi perlu mewujudkan pelan pencegahan rasuah di organisasi masing-masing;
  2. Menubuhkan Institut Integriti Malaysia pada tahun 2004 khusus untuk memberikan pendidikan dan latihan serta kesedaran kepada organisasi dan masyarakat Malaysia tentang integriti;
  3. Memperkenalkan MS 37001: Sistem Pengurusan Anti Rasuah pada tahun 2017;
  4. Melancarkan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) pada tahun 2021 yang menggariskan beberapa strategik memperkasa tadbir urus;
  5. SKM melancarkan Dasar Koperasi Negara 2030 (DaKoM) yang mengariskan beberapa strategi untuk memantapkan tadbir urus koperasi;
  6. Memberikan penekanan kepada pengurusan integriti melalui Kajian semula Akta Koperasi 1993.

ANGKASA akan bekerjasama dengan SPRM bagi meneruskan agenda pemerkasaan pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat seterusnya memperkasakan sektor koperasi ke arah bebas rasuah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.