19 Januari 2024, 08:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh memainkan peranan penting dalam memantapkan mahasiswa sebagai ejen perubahan yang cakna terhadap keperluan masyarakat, melalui pelaksanaan simposium dan pameran komuniti yang berlangsung pada 18 Januari 2024 di Auditorium Edu Hub Pagoh.

Menurut Pengarah Pusat Kelestarian Sejahtera dan Kemanusiaan UIAM, Prof. Dr. Zainal Abidin Sanusi, pameran komuniti ini dijadikan sebagai platform kepada mahasiswa untuk melibatkan diri secara langsung dengan masyarakat, di samping memaparkan projek atau inisiatif yang memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.

Program ini bukan hanya memberikan peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengetahuan dan kebolehan mereka, malah juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu penting.

Pengunjung sedang diberikan penerangan daripada pelajar Usrah in Action Seksyen 520.

Sementara itu, ketua kumpulan Usrah in Action, Puan Sara Qadija Mohd. Sharifuddin memaklumkan bahawa pemilihan Sekolah Kebangsaan Kampong Bahru, Lenga yang melibatkan pelajar orang asli bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan dan projek komuniti dalam kalangan mahasiswa, seterusnya membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam konteks sebenar dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Pameran projek pendigitalan pendidikan orang asli Jakun.

Melalui simposium tersebut, UIAM kampus Pagoh juga turut memainkan peranan yang penting dalam memantapkan mahasiswa sebagai rakan pembangunan yang cakna terhadap realiti masyarakat dan negara.

Inisiatif ini dapat melahirkan graduan yang tidak hanya berkelayakan secara akademik, bahkan juga berdaya saing dan bersedia untuk menyumbang kepada kemajuan negara dalam pelbagai bidang.

Mengulas lanjut, simposium ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada mahasiswa di Kulliyyah Pelancongan Lestari dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) mendalami isu semasa dan mendengar permasalahan dan pandangan daripada masyarakat setempat. Hal ini dapat membantu dan memperluaskan pemahaman mereka tentang cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan negara. Dengan pemahaman ini, mahasiswa dapat merangka inisiatif dan penyelesaian yang relevan untuk menyokong pembangunan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.