Oleh Mohamad A. Tian
22 Januari 2024, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PETALING JAYA –  Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghentikan segera kerenah birokrasi lama dan membenarkan universiti awam membuat keputusannya sendiri bagi menentukan keutamaan masing-masing.

Tambah Perdana Menteri, KPT perlu memberikan ruang selain membenarkan pihak pengurusan universiti untuk membuat beberapa keputusan tertentu bagi meneruskan program masing-masing. Hal ini menurut Perdana Menteri adalah bertujuan untuk membolehkan prestasi universiti awam berkembang dan pada akhirnya akan dapat menyumbang kepada wacana pendidikan pada masa hadapan.

“Saya sebelum ini sudah mengarahkan KPT memberikan universiti awam ruang untuk menentukan keutamaan masing-masing. Oleh itu, sistem lama dan amalan birokrasi di mana kementerian membuat keputusan bagi pihak universiti mesti diakhiri sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia, di Universiti Malaya, pada hari ini.

Tambah Perdana Menteri lagi, kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea baharu dalam bidang pendidikan negara. Langkah itu menurutnya penting bagi memastikan IPT di negara ini mampu bersaing dengan lebih baik pada peringkat serantau dan dunia sekali gus melahirkan mahasiswa berdisiplin serta berkualiti tinggi.

“KPT harus menyelaraskan (program) bagi mengelakkan apa-apa pertindihan atau permasalahan, tapi beri lebih banyak ruang kepada universiti, lihat lebih banyak program yang lebih baik, kalau tidak, kita ubah kepimpinan (IPT),” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melihat semula pelaksanaan sistem prasekolah bagi memastikan jurang antara kawasan pedalaman, desa dengan bandar tidak terus melebar.

Hal ini demikian kerana menurutnya, pada tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan terbesar kepada KPM, maka itu kerajaan mahu kemudahan prasekolah ditambah untuk semua sekolah di seluruh negara.

“Gesaan saya dalam tempoh singkat ini agar pastikan tahun ini kita menyediakan kemudahan tambahan supaya peluang prasekolah dikendalikan KPM diberikan kepada semua pelajar. Dalam Belanjawan MADANI, bidang pendidikan mendapat peruntukan terbesar, sebab itu sekali lagi kita gunakan peruntukan itu untuk keperluan asas. Tahun lalu, kita peruntukkan sebanyak RM1 bilion hanya untuk membaiki tandas, yang mana sebanyak 8,600 buah tandas daif dikesan di sekolah,” ucapnya yang percaya bahawa sebelum memfokuskan kepada usaha mengangkat pendidikan tinggi yang sentiasa diutamakan, perkara asas dan pendidikan rendah juga perlu diberikan perhatian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.