24 Januari 2024, 22:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada masa kini, terdapat pelbagai karya kreatif yang diterjemahkan melalui terbitan rancangan untuk tontonan masyarakat. Rancangan ini meliputi pelbagai jenis seperti drama, filem, dokumentari dan rancangan bual bicara. Rancangan yang diterbitkan selalunya adalah untuk tontonan masyarakat umum atau mengikut had umur yang ditetapkan.

Namun begitu, walaupun sesetengah rancangan menetapkan had umur tontonan, rancangan tersebut tetap boleh diakses, lebih-lebih lagi dengan penggunaan Internet yang meluas. Oleh itu, bagi penerbit rancangan terutamanya di Malaysia, mereka tetap perlu mengambil berat akan kandungan rancangan terbitan mereka yang disiarkan kepada masyarakat.

Kandungan rancangan perlulah menekankan pengajaran atau memberikan contoh yang baik kepada masyarakat dan tidak menunjukkan unsur negatif yang jika dipertontonkan boleh menyebabkan masyakarakat menyalah tafsir dan terpengaruh dengan perkara negatif tersebut. Sebagai contohnya, drama bersiri yang diterbitkan perlulah mengetengahkan plot atau jalan cerita yang tidak mengandungi unsur bertentangan dengan norma masyarakat di Malaysia. Hal ini demikian kerana drama yang dipertontonkan mampu mempengaruhi pemikiran penonton dari pelbagai sudut. Mungkin ada dalam kalangan penonton yang mampu mentafsir drama tersebut dan mengambilnya semata-mata sebagai pengajaran.

Walau bagaimanapun, terdapat penonton yang mungkin mengambilnya mentah-mentah sebagai gambaran sebuah drama yang mampu diaplikasikan dalam kehidupan sebenar. Maka itu, penerbit drama atau secara umumnya rancangan di Malaysia, perlu mengambil berat dalam merangka isi kandungan rancangan mereka sebelum menerbit dan menyiarkannya.

Tanggungjawab Penerbit

Sejak akhir-akhir ini, kita juga dapat melihat trend adaptasi drama dan rancangan dari luar negara yang mengekalkan plot atau jalan cerita dari luar negara tersebut bersama-sama gandignan barisan pelakon dari Malaysia. Trend seperti ini tidak dapat dielakkan kerana permintaan daripada penonton dan penerbitan rancangan seperti ini mampu memberikan kelainan kepada industri seni Malaysia. Kita tidak boleh menyangkal bahawa sesetengah rancangan dari luar negara ini mempunyai plot yang amat berbeza dan kreatif untuk dipertontonkan kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, pihak yang bertanggungjawab untuk mengadaptasi rancangan luar negara ini perlu lebih teliti untuk menapis unsur negatif dalam plot atau dialog secara terang-terangan atau tersirat yang bertentangan dengan norma, adat, kelakukan dan percakapan masyarakat di Malaysia. Peringatan seperti ini bukanlah untuk mengehadkan kreativiti atau usaha individu dalam industri seni Malaysia tetapi perkara ini adalah untuk kebaikan bersama kerana mereka perlu memahami dan mengingati bahawa hasil kerja kreatif mereka ini juga adalah satu daripada ejen yang mempengaruhi tindak-tanduk masyarakat di Malaysia.

Proses Penapisan yang Teliti

Sehubungan dengan itu, rancangan di Malaysia yang diterbitkan perlulah mengikuti garis panduan atau kesesuaian masyarakat di negara ini. Penapisan filem, drama atau rancangan yang ingin disiarkan kepada khalayak ramai perlulah dilakukan dengan teliti dan telus. Peringkat penapisan ialah satu peringkat yang akan menentukan hasil akhir sesebuah drama, filem atau rancangan yang diterbitkan. Proses penapisan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti pada peringkat stesen televisyen, lembaga penapisan filem atau pada peringkat kendiri, iaitu oleh kru produksi rancangan tersebut sendiri perlulah dilakukan dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan tidak culas dalam melakukannya.

Pihak yang bertanggungjawab dalam proses penapisan perlu memainkan peranan mereka dalam melakukan proses ini agar hasil yang diterbitkan selepas itu mampu memberikan impak positif kepada masyarakat dan tidak mempengaruhi minda masyarakat dengan perkara yang negatif. Oleh itu, perlulah diingatkan kepada penghasil karya kreatif di Malaysia bahawa peringkat penapisan merupakan peringkat yang penting dan perlu dipandang serius dalam penghasilan sesebuah karya seni seperti filem, drama atau rancangan.

Di samping itu, dari sudut pandang penonton atau masyarakat, kita perlulah lebih bijak dalam menapis sendiri hasil karya penerbitan yang ditonton. Penonton perlulah ingat bahawa adegan yang dipertontonkan dalam sesebuah hasil karya adalah untuk diambil pengajaran dan bukan untuk ditiru dan diaplikasikan di dalam kehidupan secara langsung. Pihak betanggungjawab mungkin boleh menapis sehabis baik hasil karya yang ingin diterbitkan, namun cara penerimaan penonton juga amat penting agar tidak menyalah tafsir apa yang ditonton dan hanya mengambil perkara yang positif sebagai rujukan.

Sebagai kesimpulannya, penerbitan karya seperti drama, filem, rancangan realiti atau bual bicara dan lain-lain adalah sebahagian daripada penghasilan karya kreatif yang aktif dilakukan di Malaysia sehingga kini. Tidak dapat disangkal lagi bahawa karya kreatif seperti ini amat penting untuk kemaslahatan dan pengembangan industri seni di Malaysia yang mungkin juga akan membawa nama negara ke mata dunia. Penghasil karya kreatif ini perlu menitikberatkan kepentingan garis panduan agar bersesuaian dengan norma masyarakat di Malaysia.

Peringatan ini sekali lagi disuarakan bukan sebagai penghalang kepada kreativiti atau idea baharu yang ingin dipertontonkan tetapi untuk menekankan bahawa karya mereka akan memberikan kesan kepada pemikiran masyarakat yang menonton. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil pada awal perancangan sewaktu merangka penghasilan karya. Jika perkara seperti ini diambil kira oleh pihak yang bertanggungjawab, sudah pastilah penerbitan rancangan kreatif dapat memberikan impak yang positif kepada masyarakat di Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.