Oleh Mohamad A. Tian
25 Januari 2024, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilantik semula sebagai Ketua Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2024 ini.

Pelantikan semula Tunku Azizah telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pelantikan ini merupakan penggal kedua baginda menjawat jawatan berkenaan, selepas dilantik bagi penggal pertama pada tahun 2019. Menurut kenyataan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, warga UIAM amat bersyukur dan berbangga dengan keputusan pelantikan semula Tunku Azizah sebagai Ketua Perlembagaan UIAM untuk penggal kedua.

“Seluruh warga UIAM amat berbesar hati dan gembira dengan pelantikan semula Tunku Azizah kerana sikap penyayang dan prihatin Tunku yang mendalam kepada segenap warga berbilang bangsa di UIAM ini,” ujar Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli.

Beliau menambah, pelantikan semula Tunku Azizah membolehkan UIAM mencapai pelbagai pengiktirafan peringkat antarabangsa khasnya dalam memaknai peranan sebuah institusi Islam yang berwibawa merentasi 40 tahun penubuhan UIAM. Tambahnya lagi, seluruh warga UIAM akan terus memajukan perancangan yang disediakan di bawah naungan Tunku Azizah dengan memanfaatkan pengalaman serta kecenderungan Seri Paduka tentang dunia ilmiah yang beretika dalam menegakkan kebenaran berteraskan ilmu dan amanah.

“Dengan pelantikan semula ini, Tunku Azizah yang akan bersemayam di Istana Pahang dalam meneruskan legasi Almarhum Paduka Ayahanda untuk membolehkan UIAM meneroka lebih luas lagi peranannya sesuai dengan Rahmatan lil ‘alamin selari dengan slogan UIAM Leading The Way, Leading The World,” katanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.