27 Januari 2024, 20:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menerima simbolik penyerahan buku di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan (YK) dalam Majlis Bicara Inspirasi Tokoh bersempena dengan Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan Ke-41 Tahun 2023/2024 yang berlangsung di Dewan al-Farabi, Institut Pendidikan Guru (IPGM) Kampus Dato’ Razali Ismail tengah hari tadi.

YB Fadhlina Sidek bergambar bersama-sama Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP; Encik Sakri Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif ITBM; Tuan Haji Abdul Muie Ngah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM; Encik Ab Aziz Mamat, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, KPM; Kapten Shamsuddin Moner (B), Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM); dan Tuan Haji Jelani Sulung, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP dan Encik Sakri Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, ITBM menyempurnakan simbolik penyerahan buku tersebut kepada YB Fadhlina Sidek bagi mewakili DBP, ITBM dan YK, iaitu badan yang menguruskan dana penerbitan buku tersebut dan syarikat serta agensi yang berjaya mendapat manfaat daripada dana berkenaan. Buku-buku yang diterbitkan menerusi dana tersebut akan diedarkan ke sekolah dan perpustakaan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Penerbitan buku di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 merupakan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat ke arah melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu, berketerampilan dan berdaya cipta.

Semasa pembentangan Belanjawan 2023, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa:

Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikannya sebagai bahan bacaan yang disukai ramai. Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan. Sebanyak 20 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.

Inisiatif Belanjawan 2023 telah memberikan manfaat kepada 36 penerbit, dan agensi termasuklah DBP, ITBM dan YK dengan penerbitan sebanyak 358 judul buku yang meliputi karya terjemahan, karya agung dan karya terpilih. Buku-buku ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia pada 25 Oktober 2023.

Antara buku DBP yang diterbitkan menerusi dana tersebut ialah Hikayat Hang Tuah yang dialih aksara oleh Mohammad Haji Salleh dan buku terjemahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, iaitu Tafsir Maudhu’iy: Economy and Finance. Buku lain yang diterbitkan ialah 7 Ilmu Pilihan Jilid 1, Reka Cipta Mad dan Ani dan Hikayat Kelana Sita Kembara.

Buku terbitan ITBM pula antaranya termasuklah 50 Idea Seni Bina yang Patut Anda Ketahui, 50 Peristiwa Sejarah Perang yang Patut Anda Ketahui, Philo Farsworth dan Televisyen, Stesen Pembelajaran: Penyiasatan yang Membentuk Komuniti Pelajar Muda dan Kejuruteraan Awam dan Sains Binaan.

Sebagai yayasan yang ditubuhkan untuk tujuan mengkaji dan menerbitkan karya agung Melayu, karya agung dunia Melayu dan karya agung dunia dalam bahasa Melayu, YK mengangkat karya Kenang-kenangan Selangor, Hikayat Nakhoda Muda, Hikayat Isma Yatim, Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan untuk penerbitan di bawah inisiatif tersebut.

Penerbit lain yang turut memperoleh manfaat daripada dana ini menerbitkan karya seperti Malaysia Madani Perspektif Maqasid Syariah (penerbit Ilhambooks), Fatwa-fatwa Perubatan di Malaysia (penerbit Universiti Sains Islam Malaysia), Ceritera Khazanah Pahang (penerbit Universiti Teknologi MARA) dan Melayu di Mata Raffles (penerbit Pujangga Baru Enterprise).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Abdul Muie Ngah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM); Encik Ab Aziz Mamat, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, KPM; Kapten Shamsuddin Moner (B), Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM); Tuan Haji Jelani Sulung, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu; Dr. Hajah Narita Mohd Noor, Pengarah Institut Guru Malaysia Kampus Dato’ Dr. Razali mewakili Rektor Pengarah Institut Guru Malaysia; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; dan Tuan Haji Sulaiman Ngarif, Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit merangkap Jawatankuasa Pengelola Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan Ke-41.

Antara buku yang diterbitkan di bawah Inisiatif Belanjawan 2023,
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.