16 Februari 2024, 19:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alat sedut hidung mungkin kurang dikenali berbanding dengan bentuk dos ubat yang lain seperti alat sedut (inhaler) dan alat sembur hidung. Namun begitu, terdapat juga sebilangan individu yang menggunakan alat sedut hidung berdaftar yang boleh dibeli tanpa preskripsi dari farmasi komuniti, kedai serbaneka dan pasar raya.

Alat sedut hidung merupakan sejenis bentuk sediaan ubat yang terdiri daripada tiub yang mengandungi bahan aktif. Bahan aktif tersebut akan keluar dalam bentuk wap apabila disedut menggunakan hidung. Antara bahan aktif yang digunakan dalam formulasi alat sedut hidung termasuklah menthol, camphor dan beberapa jenis bahan berasaskan herba seperti minyak eucalyptus, rosemary dan peppermint. Bahan ini digunakan untuk memberikan kesan kelegaan kepada hidung yang tersumbat sewaktu selesema atau disebabkan oleh alahan.

 Keperluan Pendaftaran bagi Alat Sedut Hidung

Sama seperti sediaan dalam bentuk dos yang lain, alat sedut hidung juga tertakluk pada keperluan pendaftaran berdasarkan akta dan peraturan yang berkuat kuasa. Pendaftaran alat sedut hidung ditentukan oleh beberapa kriteria, iaitu jenis bahan aktif yang terkandung di dalamnya serta tuntutan atau kegunaannya.

Alat sedut hidung yang mengandungi bahan aktif dan dapat memberikan kesan farmakologi perlu didaftarkan sebagai ubat dan dikawal selia di bawah penguatkuasaan Akta Jualan Dadah 1952 oleh Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai ubat, alat sedut hidung perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM sebelum boleh diimport, dikilangkan atau dipasarkan di Malaysia.

Secara umumnya, dua ciri utama ubat berdaftar ialah nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram. Nombor pendaftaran bermula dengan huruf “MAL”, diikuti dengan lapan digit dan diakhiri dengan abjad “A”, “X”, “T” atau “N” yang menunjukkan kategori ubat tersebut. Sehingga kini, alat sedut hidung yang berdaftar hanya terdapat dalam kategori “X” dan “T”. Abjad “X” bermaksud ubat tersebut merupakan ubat am (over-the-counter,OTC), manakala “T” adalah untuk sediaan tradisional. Label keselamatan hologram pula berupa pelekat yang ditampal pada pek pembungkusan dan dilengkapi dengan beberapa ciri keselamatan. Label keselamatan hologram yang digunakan pada semua ubat berdaftar pada masa ini dikenali sebagai label keselamatan hologram FarmatagTM.

Sementara itu, alat sedut hidung yang hanya memberi kesan lapisan pelembap yang melindungi permukaan mukosa hidung pula dikategorikan dan perlu didaftarkan sebagai peranti perubatan. Alat sedut hidung dalam kategori ini tertakluk pada Akta Peranti Perubatan 2012 yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia.

Cara Menyemak Status Pendaftaran Alat Sedut Hidung

Untuk memastikan alat sedut hidung yang ingin dibeli atau digunakan berdaftar dengan KKM, orang awam digalakkan untuk menyemak status pendaftaran ubat tersebut. Tindakan ini juga penting untuk mengelakkan orang awam terpedaya dengan helah penjual ubat yang tidak berdaftar. Penggunaan alat sedut hidung yang tidak berdaftar berisiko mendatangkan kemudaratan kerana ubat tersebut tidak melalui proses penilaian yang menyeluruh dari segi kualiti dan keselamatannya.

 Semakan status pendaftaran boleh dilakukan menerusi fungsi “Carian Produk” atau “Product Search” yang terdapat dalam laman web NPRA (www.npra.gov.my). Semakan juga dapat dilakukan melalui aplikasi telefon pintar “NPRA Product Status” dengan memasukkan salah satu daripada input carian, seperti nama produk, bahan aktif atau nombor pendaftaran. Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada “Google Play Store”, “Apple Apps Store” atau “Huawei AppGallery”. Ketulenan label keselamatan hologram yang terdapat pada pek pembungkusan juga harus disemak setiap kali sebelum membeli alat sedut hidung dengan menggunakan aplikasi telefon pintar FarmaCheckerTM.

Status pendaftaran alat sedut hidung yang dikategorikan sebagai peranti perubatan boleh disemak dengan melayari laman web Pihak Berkuasa Peranti Perubatan.

Nasihat untuk Orang Awam

Selain menyemak status pendaftaran, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati apabila ingin membeli alat sedut hidung. Elak daripada terpedaya dengan iklan yang mengandungi tuntutan melampau serta menggunakan perkataan seperti “terbaik”, “berkesan”, “dijamin selamat” dan “mujarab”. Orang awam hendaklah mempertimbangkan dakwaan tentang keberkesanan dan keselamatan produk yang dijual dengan sewajarnya serta tidak mudah mempercayai tuntutan perubatan yang tidak munasabah dan testimoni daripada pengguna lain.

 Selain itu, orang awam juga digesa supaya tidak membeli alat sedut hidung daripada penjual yang diragui, contohnya penjual di kaki lima atau pasar malam, penjual dari luar negara serta penjual dalam talian yang tidak dapat dipastikan kesahihan premis fizikalnya. Apabila menerima iklan yang mempromosi alat sedut hidung dengan tuntutan kesihatan, orang awam harus memastikan iklan tersebut telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat. Kelulusan iklan ditunjukkan menerusi nombor kelulusan yang seharusnya dipaparkan pada iklan tersebut. Contoh nombor kelulusan iklan ubat ialah KKLIU 3993 / exp: 31.12.2025.

 Orang awam juga digalakkan untuk melaporkan aduan atau menyalurkan maklumat tentang penjualan alat sedut hidung yang disyaki tidak berdaftar. Aduan atau maklumat boleh dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui laman web https://www.pharmacy.gov.my atau talian 03-78413200. Orang awam juga boleh menghubungi mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau mengemukakan laporan menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di alamat https://moh.spab.gov.my.

Orang awam turut diingatkan bahawa penjualan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar merupakan tindakan yang melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang kecuali cuti umum).

Penulis, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Maklumat Ubat dan Pendidikan Pengguna, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.