20 Februari 2024, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YBrs. Tuan Haji Azman Adnan telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa pada hari ini, 20 Februari 2024.

YBrs. Tuan Haji Azman pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian sebelum dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah).

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, YBrs. Tuan Haji Azman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dan Kepengetuaan dari Universiti Malaya (UM), beliau juga berpengalaman selama lebih 34 tahun dalam bidang pendidikan.

YBrs. Tuan Haji Azman memulakan kerjaya sebagai guru, sebelum dilantik sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran, Penyelia Petang, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri dan Pengetua sekolah.

Menurut KPM, YBrs. Tuan Haji Azman berpengalaman memimpin institusi pendidikan pada pelbagai peringkat termasuklah sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor.

Pada peringkat Pengurusan Tertinggi KPM, Tuan Haji Azman berpengalaman menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum.

KPM dalam kenyataan tersebut berharap “semoga pengalaman luas YBrs. Tuan Haji Azman dalam pelbagai peringkat dapat memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan.”

Selain itu, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek turut menyampaikan watikah pelantikan KPPM kepada YBrs. Tuan Haji Azman. Turut hadir, Ketua Setiausaha  KPM, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawani.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyampaikan watikah pelantikan KPPM kepada YBrs. Tuan Haji Azman. 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.