Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak empat intervensi kurikulum menjadi pendekatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha mengatasi keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.
Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, kurikulum adalah bersifat dinamik dan progresif serta memerlukan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa agar seiring dengan keperluan masa kini.
“Intervensi kurikulum yang diperkenalkan ini merupakan antara usaha pihak KPM dalam memberikan maklum balas terhadap pandangan ibu bapa, guru dan pemegang taruh dalam bidang pendidikan,” ulas beliau dalam sidang media yang diadakan pada pagi tadi, di KPM, Putrajaya.
Tegas beliau,
Intervensi kurikulum ini bukan kurikulum baharu, namun merupakan intervensi bagi kurikulum yang sedia ada, khususnya bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, sebelum kurikulum baharu diperkenalkan pada tahun 2027.
Mengulas lebih lanjut, YB Fadhlina berkata bahawa KPM telah menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap 1 yang akan digunakan pada Sesi Akademik 2024/2025, manakala bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, akan menyusul kemudian.
Isu literasi dan numerasi dalam kalangan murid merupakan intervensi penting yang ingin diketengahkan oleh KPM. Oleh itu, intervensi awal yang bersesuaian diperlukan dengan mengenal pasti kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran murid.
Pada sidang media yang sama, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBrs. Azman Adnan berkata, tempoh intervensi literasi dan numerasi diberikan selama tiga bulan untuk membolehkan guru mengenal pasti keupayaan setiap murid. Tempoh itu akan bermula pada Julai 2024 hingga September 2024.
“Sekiranya murid tersebut masih belum dapat menguasai tahap literasi dan numerasi yang diperlukan, maka mereka harus melalui tempoh tiga bulan seterusnya,” ulas beliau.
Pendekatan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa turut diperkenalkan dalam intervensi kurikulum pada kali ini bagi memudahkan guru dan ibu bapa mengenal pasti tahap kemampuan murid.
YB Fadhlina berkata,
Laporan Tahap Penguasaan (TP) dalam PBD yang sedia ada akan dipermudah, manakala pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred. Kedua-dua pelaporan tersebut boleh diakses secara dalam talian.”
“Seterusnya, Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan yang akan bermula pada 19 Mac 2024.
Yang turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Haji Shafruddin Haji Ali Hussin; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, YBrs. Zainal Abas; Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad dan barisan pengurusan KPM.
Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin