27 Mac 2024, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Sebagai negara yang mendaulatkan bahasa Melayu, penerbitan buku berbahasa Melayu juga perlu mempunyai kedudukan yang sewajarnya dalam industri perbukuan negara.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, sejak 39 tahun Dasar Buku Negara diperkenalkan, matlamat yang digariskan sangat signifikan untuk dijadikan sebagai pedoman dan panduan kepada pihak yang berkaitan demi mencapai kelangsungan dunia penerbitan semasa.

“Budaya membaca harus disemai dari usia kecil bagi melahirkan masyarakat bertamadun” YB Fadhlina Sidek.

Tambah beliau, antaranya termasuklah memastikan buku dalam bahasa Melayu dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai alat pembangunan fikir, sosial dan kebudayaan, sesuai dengan keperluan dan cita-cita tinggi.

“Dasar Buku Negara yang ada sekarang juga perlu dilihat agar dapat ditambah baik dan diperkukuh mengikut keperluan semasa dan masa hadapan,” jelas YB Fadhlina Sidek ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Kanak-kanak dan Remaja yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.

YB Fadhlina Sidek dan tetamu kehomat ketika Majlis Pelancaran Buku Kanak-kanak dan Remaja.

Jelas beliau,

Kita perlu memastikan bahawa Dasar Buku Negara terus menjadi teras kepada pembudayaan dan barangkali mencapai hasrat negara sebagai negara membaca.

YB Fadhlina Sidek turut menyatakan bahawa pesta buku merupakan peluang terbaik untuk syarikat penerbitan mengoptimumkan perdagangan dan pemasaran buku masing-masing.

“Saya mengesyorkan pihak yang berkaitan agar dapat mengadakan aktiviti seperti Pesta Buku Bahasa Melayu, Pesta Buku Kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, lorong seni sebagai lorong buku dan pasar malam, pasar tani serta pasar lambak sebagai medan dagangan buku,” ujar beliau dalam sidang media pagi tadi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari menerusi ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa DBP menyambut baik hasrat kerajaan melalui Belanjawan 2024 yang memperuntukkan sejumlah RM20 juta dana inisiatif untuk bidang budaya, bahasa dan kesusasteraan bagi aktiviti penerbitan bermutu.

“Industri perbukuan bukanlah suatu bentuk perdagangan yang bersifat keuntungan semata-mata, tetapi mementingkan penerbitan buku yang berkualiti dan bermutu” YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Menurut beliau, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI, pemerkasaan bidang penerbitan dalam bahasa Melayu perlu diberi nafas baharu.

Bukanlah untuk menidakkan kepentingan penerbitan buku dalam bahasa lain, tetapi untuk sementara waktu, kita tumpukan kepada penerbitan buku berbahasa Melayu bagi pembinaan negara bangsa, khususnya dari aspek perpaduan.

Tambah beliau,

Mudah-mudahan dengan pemerkasaan penerbitan dalam bahasa Melayu hasil karangan daripada pengarang tempatan, termasuklah buku yang diterjemahkan daripada bahasa asing kepada bahasa kita akan dapat memandaikan bahasa dan bangsa yang bertamadun, selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang menjadi tonggak kepada negara.

Pada masa yang sama, YBrs. Dr. Hazami turut memaklumkan bahawa DBP dengan kerjasama pelbagai pihak dalam industri perbukuan negara akan berusaha untuk memenuhi segala keperluan kerajaan, seperti menganjurkan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu pada hari ini.

“Seminar ini merupakan wahana pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, serta penyebaran ilmu yang cukup ampuh dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan,” jelas YBrs. Dr. Hazami.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran seminar tersebut merupakan antara usaha berterusan DBP dalam bidang penerbitan selaras dengan Pelan Strategik DBP 2021-2025 melalui tiga teras strategiknya, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Menteri Pendidikan bergambar kenangan bersama-sama penerbit, pengarah, penulis, pembentang kertas kerja, warga DBP dan para peserta seusai majlis.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan dan barisan tertinggi agensi kerajaan dan swasta serta para penerbit lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.