Oleh Rasoul Manan
1 April 2024, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd farid Jainudin

Kuala Lumpur – “Puasa merupakan suatu ibadah yang wajib bagi umat Islam dan apabila anak-anak kita mula berpuasa seawal usia muda, hal ini merupakan satu kebanggaan kepada para ibu bapa.”

Demikian kata YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dalam Majlis Iftar Si Burung Kecil dan Ramah Mesra Bersama-sama Pengamal Media di Dewan Kompleks Seri Bintang, SMK Seri Bintang pada petang tadi.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan program sebegini amat signifikan dalam meraikan “si burung kecil”, iaitu merujuk kepada anak-anak kecil dan turut menghargai usaha ibu bapa serta guru-guru yang mendorong mereka supaya berpuasa.

YB Fadhlina Sidek berucap merasmikan Majlis Iftar Si Burung Kecil dan Ramah Mesra Bersama-sama Pengamal Media di Dewan Kompleks Seri Bintang, SMK Seri Bintang.

Dengan berpuasa, ‘si burung kecil’ menambah pengalaman lalu mencipta memori untuk dikenang pada usia muda, malah dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan FGV Holdings Berhad (FGV) adalah untuk meraikan anak-anak kecil melibatkan murid tahun 1 dan 2 yang sedang belajar berpuasa.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyantuni dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pengamal media yang telah banyak membantu KPM dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan.

“Media massa memainkan peranan penting dalam membantu menyebarluaskan pelbagai inisiatif yang sedang atau akan dilaksanakan oleh KPM. Oleh itu, majlis ini tidak sekadar menghargai anak-anak, malah turut mendekati para media demi mengeratkan hubungan antara pihak media dan KPM,” ujar YB Fadhlina sebelum mengakhiri ucapannya.

Terdahulu, Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin dalam ucapannya menyatakan bahawa puasa merupakan suatu bentuk budaya yang harus dipupuk seawal usia kanak-kanak lagi.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin Presiden ABIM menyampaikan ucapan dalam majlis yang diadakan di Dewan Kompleks Seri Bintang, Kuala Lumpur.

“Dengan adanya aktiviti sebegini, anak-anak kecil sudah didedahkan dan diterapkan dengan nilai-nilai murni dan mampu menjadi insan yang berilmu dan pintar.”

Dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Dato’ Iszhar Ibrahim pula berkata, FGV terpanggil untuk menyertai majlis ini dan menyambut baik aktiviti yang dilakukan kerana selari dengan usaha FGV untuk menghasilkan produk makanan yang sihat dalam kalangan rakyat. Beliau berkata;

Dato’ Iszhar Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Dairy.

“FGV merupakan satu daripada pengeluar makanan Malaysia yang  sentiasa komited dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan menyediakan produk makanan berkualiti tinggi dan berkhasiat terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.”

 

 

YB Fadhlina Sidek turut memberikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir dalam majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis tadi ialah YB Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan; YBhg. Dato’ Indera Nik Nasaruddin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha KPM; Encik Zainal Abas, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan; Dato’ Iszhar Ibrahim serta Ketua Pegawai Eksekutif FGV Dairy.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.