Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 di Kawasan Parlimen Batu (P.115 Batu) pada pagi ini berjalan dengan lancar. Berdasarkan tinjauan yang dibuat di beberapa lokasi di Parlimen Batu, pengundi di kawasan ini beratur untuk mengundi pada awal pagi bagi memastikan proses pengundian dapat diselesaikan dengan segera dan mengelakkan pengundian dibuat pada saat-saat akhir.
Parlimen Batu merupakan antara parlimen yang mempertaruhkan calon yang paling banyak, iaitu sebanyak 10 orang dengan calon dan kerusi masing-masing seperti yang berikut:
Biarpun kawasan Parlimen Batu mempertaruhkan banyak calon, proses pengundian di kawasan ini berjalan dengan aman dan lancar. Pengundi yang ingin dikenali sebagai Habsah, 65 tahun menyatakan bahawa beliau antara pengundi yang terawal hadir ke pusat mengundi dengan ditemani oleh suami daripada golongan orang kurang upaya yang turut sama mengundi. Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan petugas yang bertugas seperti Polis Diraja Malaysia memberikan khidmat terbaik mereka bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan dalam suasana teratur dan terkawal.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, pemilih yang berdaftar yang mengambil bahagian dalam PRU P.115 pada kali ini adalah sebanyak 113 863 orang.
Pengundi muda antara pengundi yang hadir dan menunjukkan semangat mereka untuk mengundi. Menurut pengundi yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 19 tahun yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Perak Sentul, beliau berasa teruja kerana golongan belia antara individu yang diberikan peluang mengundi pada kali ini kerana pada pandangan beliau melalui proses pengundian, golongan muda juga diberikan hak memilih dan mengutarakan pandangan mereka dalam konteks pemilihan calon yang akan menjadi pemimpin negara.
Mengulas tentang latar belakang calon yang akan dipilih, pengundi muda yang ingin dikenali sebagai Nur, 23 tahun menyatakan:
Saya mencari latar belakang calon kerana saya baru terlibat dalam hal politik. Saya juga mengambil tahu setiap parti dan calon serta membuat kajian tentangnya bagi memastikan saya tidak silap memilih calon dan membuat undian yang betul.
Menurut seorang lagi pengundi yang juga ingin dikenali sebagai Nur, 25 tahun, inisiatif kerajaan yang menetapkan umur 18 tahun layak mengundi merupakan inisiatif dan idea yang bagus kerana generasi pada masa ini sudah terdedah dengan politik sejak dari kecil melalui pembelajaran dan pelbagai medium yang ada.