Oleh Hasni Jamali
31 Julai 2023, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof dan Mohamad Adib Zulkifli

Shah Alam – Program Seronoknya Membaca anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja menarik perhatian para pembaca cilik yang berkunjung ke Pesta Buku Kanak-kanak Selangor.

Program tersebut dilaksanakan melalui tiga aktiviti yang menyeronokkan dengan konsep didikan melalui hiburan berdasarkan pendekatan membaca dalam usaha menyebarluaskan dan menanam perasaan cinta akan bahasa dan sastera kepada kanak-kanak.

Sesi Bercerita Menggunakan 15 Teknik Bercerita dan Sesi Bercerita Menggunakan Buku Ajaib yang dilaksanakan pada hari kedua dan hari ketiga Pesta Buku Kanak-kanak Selangor mendapat sambutan yang menggalakkan dan dihadiri lebih daripada 100 orang kanak-kanak dan ibu bapa.

Sebahagian daripada para peserta semasa Sesi Bercerita Menggunakan 15 Teknik Bercerita dengan cerita Pak Anjang dan Mak Anjang yang disampaikan oleh Mama Filzah.

Sementara itu, Hanan Sufiyyah Mohd Salman dari Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra berjaya mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Jom Baca! yang diadakan pada hari terakhir pesta buku ini.

Para peserta bersaing dalam menyampaikan persembahan membaca dengan betul dan lancar dari segi sebutan dan intonasi, manakala penilaian markah turut mengandungi aspek kreativiti dan gaya persembahan.

Syarat pertandingan ini yang menetapkan penggunaan bahan bacaan terbitan DBP sebagai bahan pertandingan oleh peserta dilihat dapat menjadi cara yang baik untuk mendekatkan diri pembaca dengan bahan bacaan terbitan DBP.

Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP, Puan Roziah Md Yunus (kiri) menyampaikan hadiah sagu hati kepada pemenang tempat pertama, Hanan Sufiyyah Mohd Salman bagi Pertandingan Jom Baca! yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor.

Selain itu, DBP juga tidak terlepas untuk menjadi pempamer di pesta buku ini dengan menjual pelbagai bahan penerbitan genre kanak-kanak seperti novel, cerpen, buku bergambar kanak-kanak dan bahan bacaan awal kanak-kanak.

Pesta Buku Kanak-kanak Selangor yang diadakan selama empat hari bermula pada 27 Julai 2023 di Kompleks PKNS Shah Alam, Selangor melabuhkan tirainya semalam.

Pesta jualan buku dan aktiviti perbukuan yang berfokuskan kepada bahan bacaan kanak-kanak ini membuka ruang kepada lebih 100 pempamer yang memperdagangkan produk terbitan mereka.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, dalam ucapan perasmiannya, berharap agar Pesta Buku Kanak-kanak Selangor dapat memacu minat kanak-kanak kepada bahan bacaan yang berkualiti dan selamat.

Para peserta Pertandingan Jom Baca!  yang teruja untuk bergambar bersama-sama Rara, iaitu watak burung bayan DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.